Inkues Zara Qairina: Senior tunjuk contoh tidak baik, warden jarang buat pemeriksaan – Saksi

Inkues Zara Qairina: Senior tunjuk contoh tidak baik, warden jarang buat pemeriksaan – Saksi

nurhanim.osman@bh.com.my

Kuala Lumpur: Saksi ke-25 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner, bahawa dia tidak percaya atas tuduhan mencuri yang dikenakan ke atas pelajar Tingkatan Satu itu.

Peguam mewakili ibu arwah diketuai Shahlan Jufri berkata, saksi yang juga kanak-kanak ke-16 memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, menyatakan bahawa Zara Qairina seorang yang suka menolong orang dan tidak bermasalah.

“Saksi mengatakan Zara pernah memberi semangat kepadanya untuk belajar. Saksi juga pernah mendengar orang berkata Zara mahu menjadi BADAR serta rapat dengan seorang pelajar senior.

“Saksi menganggap Zara hanya menjadikan pelajar senior itu sebagai idola,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Menurut Shahlan, saksi itu turut memberitahu mahkamah bahawa Zara Qairina seorang yang ceria, menghormati pelajar senior dan tidak pernah mengadu masalah atau tekanan kepada sesiapa.

Namun, saksi memberitahu bahawa dia merasakan Zara Qairina kurang digemari oleh beberapa pelajar di asrama kerana ada yang menggelarnya “Zara yang problem itu” disebabkan ada yang menuduh Zara Qairina mencuri.

“Saksi juga mengesahkan dia tidak mendengar bunyi jatuh atau apa-apa yang ganjil sebelum kejadian dan tidak mengetahui tentang Zara dipanggil oleh mana-mana pelajar senior pada malam itu,” katanya.

Sementara itu, Shahlan berkata, saksi berkenaan turut menceritakan pengalaman ketika menjadi junior, yang mana pelajar senior pernah menyuruhnya membawa baju dari bilik seterika ke bilik mereka.

Selain itu, katanya, saksi juga pernah disindir oleh pelajar senior kerana dia seorang BADAR dan selalu merampas telefon pelajar yang membawanya ke sekolah.

“Mereka menyindir saksi dengan kata-kata ‘tu na tu jibam’. Jibam’ bermaksud ‘pe-report’ (orang yang suka melaporkan). Saksi buat tidak tahu terhadap komen mereka,” katanya.

Menurut Shahlan lagi, saksi memaklumkan bahawa sekiranya pelajar senior tidak berpuas hati dengan junior, mereka akan terus berjumpa dengan pelajar junior berkenaan dan memakinya menggunakan kata-kata kesat.

“Saksi berkata, pelajar senior sering menunjukkan contoh tidak baik kepada pelajar junior dan walaupun sudah dinasihati, mereka tetap melakukan perkara yang sama.

“Saksi menyatakan bahawa budaya tuduh-menuduh serta tindakan menyerbu atau menyoal siasat pelajar junior dengan cara marah-marah tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Saksi katanya, ketika memberi keterangan, dilihat sebak dan menangis apabila mengenang kembali pengalaman pahit semasa menjadi pelajar junior, termasuk kejadian yang dialaminya ketika dikenakan dalam Mesyuarat Aras (MA).

“Saksi berkata, ada seorang guru sekolah pernah memberi nasihat umum kepada pelajar senior agar menjaga percakapan dan tidak menggunakan bahasa kasar kerana pelajar junior akan meniru tingkah laku mereka.

“Saksi juga menyatakan bahawa warden kurang mengambil berat di asrama kerana jarang membuat pemeriksaan. Menurut saksi, selepas kes ini barulah warden mula aktif memeriksa asrama dengan menaiki aras untuk memantau pelajar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top