razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pensyarah muzik di Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), Wong Siew Ngan mencipta sejarah apabila diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai individu pertama membangunkan sistem notasi muzik Braille berasaskan pedagogi di negara ini.
Inovasi yang dinamakan Joyful Braille Music Notation (JBMN) adalah sistem inovatif yang dibangunkan Siew Ngan bersama Frederick Chaw bagi memperluaskan keupayaan notasi muzik Braille tradisional dengan pendekatan lebih mesra pembelajaran untuk menyanyi dan menguasai peralatan muzik.
Sistem itu tampil dengan pendekatan lebih intuitif, berasaskan sentuhan dan pedagogi, sekali gus membuka ruang kepada peningkatan akses, kreativiti serta peluang vokasional dalam kalangan komuniti orang kurang upaya penglihatan.
Melalui kerjasama dengan unit penerbitan Braille MAB, notasi timbul berasaskan sentuhan berjaya dibangunkan, sekali gus membantu pelatih memahami sistem penalaan dan kemahiran teknikal dengan lebih berkesan serta membuka laluan kepada peluang pekerjaan yang lebih luas.
Siew Ngan berkata, idea untuk menghasilkan inovasi itu tercetus hasil daripada pemerhatian terhadap kumpulan koir orang buta yang lebih cenderung menghafal berbanding membaca notasi, sekali gus mengehadkan potensi, bakat dan ekspresi mereka
“Kekangan sistem Braille enam titik tradisional menyebabkan elemen muzik kontemporari dan ekspresi sukar disampaikan, selain memerlukan pembacaan sel yang banyak.
“Keadaan itu menjadikan proses membaca notasi perlahan dan menyukarkan pemuzik buta untuk memahami karya muzik secara menyeluruh. Kesukaran ini turut menghadkan penyertaan mereka dalam ensembel, koral dan persembahan berkumpulan kerana batasan pada notasi,” katanya ketika ditemui selepas menerima pengiktirafan yang disampaikan oleh Pegawai MBOR, Siti Hajar Johor di MAB di sini, hari ini.
Justeru itu katanya, pada tahun lalu dia bersama Frederick membangunkan inovasi ini dengan menambah elemen garisan pada sistem Braille bagi mengurangkan kebergantungan kepada sel Braille untuk membantu penguasaan muzik menjadi lebih mudah dan efektif.
Katanya, hasil kajian yang dijalankan menunjukkan sistem ini mampu mengurangkan sekurang-kurangnya 40 peratus penggunaan sel Braille, sekali gus meningkatkan kecekapan membaca.
“Inovasi itu turut memperkenalkan elemen sentuhan tambahan melepasi enam titik tradisional dengan penggunaan garisan di bahagian atas, bawah dan sisi.
“Pendekatan ini membolehkan penggunaan ‘pintasan’ sentuhan bagi elemen muzik biasa, sekali gus meminimumkan keperluan membaca sel Braille yang banyak,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden MAB, Datin Fauziah Mohd Ramly berkata, pencapaian ini bukan sekadar satu kejayaan teknikal, malah satu lonjakan transformasi dalam cara golongan kurang upaya penglihatan berinteraksi dengan muzik.
“Kejayaan inisiatif ini menandakan satu lagi fasa penting dalam memperkasa komuniti orang buta, khususnya dalam memperluas laluan kerjaya yang berdaya maju serta meningkatkan peluang penjanaan pendapatan.
“Ia membuktikan bahawa dengan alat yang tepat, kerjasama yang kukuh dan komitmen yang berterusan, halangan dapat diatasi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




