Insentif diskaun bayaran balik PTPTN berakhir esok

Insentif diskaun bayaran balik PTPTN berakhir esok

Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengingatkan peminjam bahawa pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN seperti diumumkan dalam Belanjawan 2023 yang bermula 1 Mac lalu akan berakhir esok.

Menerusi Belanjawan 2023 yang diumumkan Februari lalu, kerajaan memberikan insentif diskaun sehingga 20 peratus kepada peminjam bagi memastikan kebajikan peminjam dan kelestarian dana pinjaman pendidikan untuk generasi akan datang.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, PTPTN telah menyediakan pelbagai saluran bayaran balik bagi memudahkan peminjam membuat bayaran balik termasuk secara dalam talian yang lebih mudah, cepat dan selamat iaitu melalui aplikasi myPTPTN dan perbankan internet.

“Selain itu, bagi membantu peminjam yang berhasrat untuk merebut peluang insentif diskaun bayaran balik ini, PTPTN turut membuka kaunter khas di lokasi terpilih seluruh Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, komitmen peminjam yang membuat bayaran balik amatlah dihargai dalam memastikan kelangsungan pemberian pinjaman pendidikan kepada generasi akan datang.

“Dengan pelbagai usaha dan pendekatan mesra yang dilaksanakan oleh PTPTN, diharapkan peminjam mengambil peluang untuk membuat bayaran balik dan tampil berbincang dengan PTPTN sekiranya terdapat sebarang kemusykilan kerana PTPTN sedia membantu,” katanya.

Terdapat empat kategori yang layak menerima insentif ditawarkan iaitu diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman dan diskaun 15 peratus untuk penyelesaian sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan baki hutang.

Selain itu, diskaun 15 peratus akan diberikan untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau Debit Terus (Direct Debit) mengikut jadual bayaran balik; dan diskaun 5 peratus untuk bayaran balik melalui aplikasi myPTPTN.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top