Insentif Pembajakan Kepada Pesawah naik RM60 per hektar, penuaian RM50 diperkenal

Insentif Pembajakan Kepada Pesawah naik RM60 per hektar, penuaian RM50 diperkenal

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju melaraskan kadar Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) daripada RM100 kepada RM160 per hektar bagi setiap musim bermula tahun ini.

Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pelaksanaan insentif itu akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan penyampaian yang cekap dan berkesan kepada para pesawah.

“Pelaksanaan insentif pembajakan kepada pesawah itu melibatkan dua kaedah agihan utama, iaitu pembayaran tunai tambahan sebanyak RM60 per hektar kepada pesawah yang telah selesai membuat kerja-kerja pembajakan dan telah membuat tuntutan kerja-kerja pembajakan bagi penanaman pada musim pertama 2025.

“Pembayaran sebanyak RM160 per hektar mengikut mekanisme sedia ada di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP), iaitu melalui penyedia perkhidmatan atau pemilik jentera bagi penanaman padi musim kedua tahun 2025,” menurut kenyataan KPKM hari ini.

Untuk bayaran insentif tambahan RM60 per hektar kepada pesawah yang telah menanam pada musim pertama tahun ini, kementerian sedang memuktamadkan senarai nama pesawah yang layak berdasarkan tuntutan dikemukakan oleh pemilik jentera dan penyedia perkhidmatan.

“Ia akan dibayar sebaik sahaja senarai nama tersebut dimuktamadkan. Ia akan mengambil sedikit masa memandangkan terdapat tuntutan oleh pihak penyedia perkhidmatan yang telah selesai membuat kerja-kerja membajak tetapi belum selesai mengemukakan tuntutan kepada agensi,” menurut kenyataan itu.

KPKM turut memperkenalkan insentif baharu, iaitu Insentif Penuaian Padi pada kadar RM50 per hektar bermula tahun ini.

Pembayaran insentif itu akan dibuat setelah kerja-kerja penuaian selesai dilaksanakan dan dituntut oleh pemilik jentuai atau penyedia perkhidmatan yang berdaftar dengan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) atau Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), bermula musim kedua tahun ini.

“Pada masa ini agensi sedang melaksanakan proses pendaftaran jentuai bagi membolehkan proses pembayaran dilaksanakan apabila kerja-kerja penuaian selesai dilaksanakan kelak,” jelas KPKM.

Kementerian turut mengambil maklum isu kelewatan pembayaran insentif dan kini sedang giat melaksanakan proses pembayaran secara berperingkat kepada pesawah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top