sukan@hmetro.com.my
Kangar: Kerajaan negeri Perlis menawarkan nilai Insentif pingat emas sebanyak RM10,000 kepada pemenang pingat emas bagi acara individu di temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-22 Selangor tahun hadapan.
Insentif itu akan ditawarkan jika sasaran 20 pingat emas secara keseluruhan berjaya dicapai oleh kontinjen negeri itu pada temasya sukan dwi tahunan berkenaan.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, bagi tahun hadapan, program sukan negeri itu akan memberi tumpuan kepada agenda untuk mencapai sasaran 20 pingat emas pada temasya Sukma Ke-22 Selangor 2026.
“Sasaran ini amat penting dijayakan untuk memastikan Pelan Pembangunan Sukan Negeri Perlis 2022 – 2026 melalui Projek 8:20 iaitu projek yang mensasarkan 20 pingat emas daripada lapan sukan utama berjaya direalisasikan.
“Insentif khas akan diberikan kepada atlet Sukma dan Para Sukma yang memenangi pingat dan sebagai lonjakan dan strategi galakan untuk memastikan sasaran 20 pingat emas dijiwai oleh semua atlet dan barisan kejurulatihan, nilai Insentif pingat emas sebanyak RM10,000 akan ditawarkan kepada pemenang pingat emas bagi acara individu jika sasaran 20 pingat emas berjaya dicapai,” katanya.
Beliau berkata, demikian ketika membentangkan Belanjawan 2026 Negeri Perlis ketika Mesyuarat Ketiga (Mesyuarat Bajet) Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri Perlis Ke-15 di Kompleks Seri Putra, di sini hari ini.
Katanya, anggaran 40 orang atlet prospek pingat emas yang akan diberi tumpuan khusus daripada sudut kebajikan, program latihan, penyertaan kejohanan di dalam dan luar negara.
“Berdasarkan rekod, Kontinjen Perlis berjaya meraih 12 pingat emas sebanyak tiga kali di temasya Sukma.
“Walaupun sasaran 20 pingat emas adalah sesuatu yang mencabar, kerajaan negeri yakin sasaran itu boleh dijayakan dengan sokongan program pembangunan bersepadu yang telah digariskan di bawah Projek 8:20,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




