Insiden pelajar jatuh bangunan: Jemaah Nazir diarah kemuka laporan mingguan audit keselamatan

Insiden pelajar jatuh bangunan: Jemaah Nazir diarah kemuka laporan mingguan audit keselamatan

PUTRAJAYA: Ketua Jemaah Nazir telah diarahkan menggerakkan semua anggotanya untuk menjalankan audit keselamatan sekolah, susulan insiden demi insiden membabitkan murid di sekolah dan asrama sekolah.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, selepas audit dibuat, Jemaah Nazir diminta menghantar laporan audit mingguan kepadanya.

Beliau berkata, laporan audit itu juga akan dibawa kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum melihat apa tindakan lanjut yang boleh diambil.

“Itu antara inisiatif-inisiatif untuk kita melihat secara keseluruhan. Bukan kita lihat satu aspek saja tapi kita nak lihat secara keseluruhannya.

“Usaha ini nanti, Insya-Allah, kita dapat memperkukuhkan aspek keselamatan sekolah dan juga asrama, khususnya keselamatan anak-anak kita dan juga seluruh warga sekolah itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sidang akhbar khas itu susulan kemalangan menimpa seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam, Selangor, awal pagi tadi.

Media hari ini melaporkan pelajar berkenaan disyaki terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolahnya dan masih tidak sedarkan diri.

Mengulas lanjut, katanya, Pengetua, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan semua warden sekolah berkenaan ditempatkan sementara di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi mengelak daripada tekanan emosi.

“Langkah menempatkan mereka ini di PPD adalah bagi meleraikan sedikit tekanan kepada pihak ini dan seterusnya memudahkan untuk siasatan dalaman dilakukan oleh KPM.

“Kami akan melihat segala aspek termasuk pematuhan garis panduan, prosedur berkaitan dengan Sekolah Selamat dan urusan pengendalian urusan buli dan juga gangguan seksual yang ada,” katanya.

Katanya, pihaknya juga mahu melihat jika pengurusan sekolah mematuhi garis panduan-garis panduan sedia ada berhubung insiden terbaharu itu.

Jelasnya lagi, KPM juga meletakkan kepercayaan penuh kepada pihak polis untuk menyiasat kes ini dan memberi jaminan akan bekerjasama kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan atau melakukan siasatan terperinci.

“Sama ada berhubung apa, sama ada pada aspek buli ke ataupun dari aspek pergaduhan ke, kita akan berikan kerjasama kepada pihak polis.

“Kami percaya pihak polis akan dapat melaksanakan tanggungjawab dan tugas dengan baik dan akhirnya akan memberikan laporan siasatan yang terperinci berhubung dengan kejadian yang berlaku ini,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top