am@hmetro.com.my
Subang Jaya: Sebanyak 190 rumah yang terjejas akibat insiden letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di sini, sudah diduduki semula.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sebanyak 12 agensi sahabat teknikal termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan kerja-kerja siasatan, pemulihan dan penilaian di kawasan terjejas.
Menurutnya, antara agensi lain yang terlibat ialah Petronas, Koridor Utiliti Selangor (Kusel), Air Selangor, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Indah Water, Telekom Malaysia (TM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Syarikat Perumahan Negara Sdn Bhd dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Setakat ini sebanyak 487 rumah yang terjejas sudah diperiksa.
“Daripada jumlah itu, 328 rumah dibenarkan masuk manakala rumah yang sudah diduduki sebanyak 190 rumah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, selain itu, sebanyak 306 rumah yang terjejas sudah dibekalkan tenaga elektrik oleh pihak TNB.
“Kita juga menerima sebanyak 741 laporan polis berkaitan insiden ini.
“Op Gas ini dilaksanakan dengan kekuatan 697 orang daripada 18 agensi dengan kekuatan PDRM termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) ialah seramai 169 orang.
“Pihak PGA masih membuat kawalan keselamatan 24 jam di kawasan yang terjejas untuk memastikan harta benda yang ditinggalkan mangsa dalam keadaan selamat,” katanya.
Insiden yang berlaku pada 1 April itu mengakibatkan kerosakan rumah dianggarkan berjumlah RM65.4 juta termasuk kos untuk pendawaian.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika kejadian berjaya menyelamatkan aset bernilai lebih RM285.9 juta.
© New Straits Times Press (M) Bhd