Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Selangor meluahkan rasa tidak berpuas hati berhubung laporan rasmi insiden letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu yang didakwa gagal mengenal pasti punca dan pihak yang perlu bertanggungjawab.
PAS tak puas hati sisasatan insiden Putra Heights

PAS tak puas hati sisasatan insiden Putra Heights
Menurut laporan Malaysiakini, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Ab Halim Tamuri menjelaskan laporan itu menimbulkan banyak tanda tanya seperti ketiadaan nama pemaju dan kontraktor terlibat malah hanya menjadikan tanah serta paip sebagai punca utama insiden.
“Apakah ini gambaran sebenar tahap ketelusan dan keprihatinan kerajaan negeri Selangor dalam menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat?
“Tidak ada pemaju dinamakan, tiada kontraktor didakwa, dan akhirnya tanah serta paip yang dipersalahkan, elemen yang tidak mampu mempertahankan diri.
“Insiden ini bukan hanya memaparkan kegagalan struktur infrastruktur, tetapi juga menunjukkan kelemahan dalam tadbir urus, ketelusan dan integriti pentadbiran kerajaan negeri ini,” kata Halim di Puchong, pada Khamis.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan tiada unsur sabotaj atau kecuaian ditemui dan berkata mereka mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Sehubungan itu, Halim mempersoalkan jawapan umum diberikan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) yang hanya menyebut ‘faktor antropogenik’ tanpa menjelaskan bagaimana kerja tanah boleh berlaku dalam kawasan right of way (ROW) paip terbabit.
“Lebih mengejutkan kerja korekan tanah itu dijalankan oleh kontraktor yang kini sedang dikenakan tindakan tatatertib oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
“Ini menimbulkan persoalan besar berhubung pemantauan dan ketelusan yang diberikan kepada kontraktor tersebut,” ujarnya.

Foto: Kosmo
Adun Paya Jaras itu turut mempersoalkan pihak mana yang bertanggungjawab meluluskan kerja-kerja korekan di kawasan berisiko tinggi dan mengapa tiada sebarang tindakan diambil terhadap pemaju serta kontraktor yang terlibat.
“Bagaimana laporan penyiasatan boleh menyatakan bahawa semua kerja telah mematuhi operasi prosedur standard, sedangkan bukti menunjukkan sebaliknya?” soal Halim.
Bukan itu sahaja, beliau juga menggesa berkenaan laporan audit yang dibuat oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) dibentangkan kepada umum sebagai bukti siasatan dibuat secara telus.
Justeru itu, Halim menegaskan PAS Selangor akan terus menuntut kerajaan negeri melaksanakan satu siasatan menyeluruh dibuat semula oleh badan bebas yang tidak mempunyai kepentingan.
Artikel lain: Pembangkang akan bangkitkan insiden Putra Heights dalam sidang DUN – Azmin Ali
Untuk rekod, pada 1 April lalu kebakaran besar melibatkan saluran gas Petronas menyaksikan api menjulang lebih 30m ke udara, dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius telah mengubah landskap kawasan sekitar menjadi kawah besar.
Selama hampir lapan jam kerja-kerja pemadaman dilakukan sehingga memastikan api dapat dikawal sepenuhnya. Seramai 146 mangsa dibawa ke hospital dan klinik untuk rawatan lanjut, manakala 219 rumah dilapor mengalami kerosakan.
Sumber: malaysiakini (N Faizal Ghazali)