Insiden Super Lynx: Pegawai TLDM di ICU, seorang cedera, dua selamat

Insiden Super Lynx: Pegawai TLDM di ICU, seorang cedera, dua selamat

am@hmetro.com.my

Melaka: Pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala seorang lagi di zon kuning Hospital Melaka (HM) susulan insiden helikopter Super Lynx yang melakukan pendaratan cemas di perairan Pantai Klebang, malam tadi.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pegawai yang dirawat di ICU ialah Leftenan Komander Afiq Muzani Abdul Aziz yang berperanan sebagai Pegawai Taktikal Udara (TACCO), akibat komplikasi pada paru-paru akibat insiden yang berlaku di perairan.

Sementara, Bintara Kanan Technician Marine Srimala (Kuater Master Udara) Mohammad Zullfika Mohiddi dirawat di zon kuning Jabatan Kecemasan dan Trauma HM akibat kecederaan di bahagian pinggang dan betis.

Beliau berkata, ketika kejadian terdapat empat kru dalam helikopter berkenaan.

“Dua daripadanya iaitu Leftenan Komander Muhamad Kamal Abdul Rani TLDM dan Leftenan Mohammad Faiz Razali TLDM, masing-masing berperanan sebagai juruterbang dan pembantu TACCO sudah dibenarkan keluar apabila disahkan stabil selepas menerima rawatan.

“Seorang pegawai sedang dirawat di ICU dan seorang lagi di Jabatan Kecemasan Hospital Melaka.

“Kedua-duanya dilaporkan stabil tetapi pemantauan rapi perlu diteruskan” katanya ketika ditemui selepas menziarahi keempat-empat mangsa di HM, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Ts Shamsuddin Ludin.

Adly berkata, Kementerian Pertahanan kini sedang berusaha mendapatkan kerjasama antara Hospital Melaka dan Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut, Perak bagi memindahkan mangsa yang dirawat di Zon Kuning ke hospital berkenaan sekiranya keadaan mengizinkan.

Bagi pegawai yang ditempatkan di ICU pula, beliau berkata pemantauan berterusan diperlukan bagi memastikan tahap kesihatan mangsa benar-benar stabil.

Dalam pada itu, Adly menegaskan kebajikan anggota terbabit menjadi keutamaan utama kementerian, termasuk memastikan segala keperluan perubatan dan sokongan diberikan sepenuhnya.

Dalam perkembangan sama, katanya, satu jawatankuasa sudah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca insiden, merangkumi semua aspek termasuk teknikal, operasi dan logistik, selain memastikan tahap keselamatan aset serta anggota sentiasa terpelihara.

“Operasi membawa keluar bangkai helikopter yang sedang dilaksanakan dengan bantuan logistik sebelum aset berkenaan dibawa ke Lumut bagi penilaian teknikal lanjut selepas operasi salvaj selesai,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan aksi penerbangan yang menjadi tumpuan orang ramai di Pantai Klebang bertukar cemas apabila sebuah helikopter Super Lynx milik TLDM terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di perairan berkenaan kira-kira jam 10.50 malam.

TLDM memaklumkan, insiden itu berlaku ketika helikopter berkenaan sedang melaksanakan penerbangan demonstrasi sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-60 Grup Gerak Khas (GGK), Tentera Darat Malaysia (TDM).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top