Insiden tembak komander: AKPS nilai tubuh pasukan khas

Insiden tembak komander: AKPS nilai tubuh pasukan khas

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Sungai Buloh: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sedang menilai langkah untuk menubuhkan pasukan khas bagi memperkukuh tahap keselamatan dan kesiapsiagaan pegawai serta komander, susulan insiden tembakan terhadap seorang komander pagi tadi.

Timbalan Ketua Pengarah AKPS (Pengurusan) Ismail Mokhtar berkata, langkah itu sejajar dengan pengambilalihan operasi dan aset daripada enam agensi teras termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Katanya, ia juga melibatkan semakan semula tahap risiko berdasarkan kategori pintu masuk negara.

“Ya, kita ke arah itu (penubuhan pasukan khas) bagi memperkukuh aspek keselamatan.

“Dalam tempoh pengambilalihan ini, kita akan memperkukuh dari segi pasukan penguat kuasa, pasukan risiko serta pasukan kawalan di pintu masuk,” katanya ketika berucap pada Program Ihya Ramadan dan Iftar bersama warga AKPS, di Kelab Rahman Putra Malaysia, di sini hari ini.

Menurutnya, AKPS kini mengurus 22 pintu masuk yang dibahagikan mengikut tahap risiko, termasuk beberapa lokasi berstatus ‘hotspot’ yang memerlukan penguatkuasaan lebih rapi.

Mengulas insiden tembakan terhadap seorang komander AKPS di Bukit Kayu Hitam, Ismail menegaskan bahawa kejadian itu adalah ancaman serius tetapi tidak akan menjejaskan semangat atau dedikasi anggota agensi terbabit.

Katanya, tahap kawalan keselamatan akan diperketat dan permohonan berkaitan aset keselamatan, termasuk persenjataan, akan diproses dengan lebih cepat untuk menjamin perlindungan pegawai.

“Kita tidak berkompromi terhadap sebarang ancaman kepada anggota, kawalan akan diteruskan seperti biasa dan akan diperkemaskan lagi,” katanya.

Selain itu, Ismail memaklumkan bahawa Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain telah hadir di lokasi kejadian untuk menilai keadaan semasa dan memberikan sokongan moral kepada pegawai yang terlibat.

Berhubung perlindungan peribadi bagi komander dan pegawai, Ismail berkata, AKPS akan menilai keperluan keselamatan mengikut kategori risiko di pintu masuk dan memerlukan kerjasama semua agensi berkaitan.

Beliau menambah, perbincangan lanjut dengan kepimpinan AKPS akan diteruskan untuk menentukan langkah perlindungan yang sesuai, termasuk kemungkinan pengaturan keselamatan khas jika diperlukan.

“Pengukuhan unit penguatkuasaan dan risiko khusus selain pasukan kawalan operasi di pintu masuk sempadan adalah antara keutamaan AKPS sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh institusi secara menyeluruh,” katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, Proton X70 yang dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam dipercayai ditembak dengan dua das tembakan awal pagi tadi.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah dilaporkan berkata, dalam kejadian jam 5.40 pagi itu, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir terselamat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top