safeek@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berdepan kesukaran ketika menjalankan operasi menyelamat dan mengeluarkan 213 penumpang yang cedera dalam kejadian pertembungan tren Transit Aliran Ringan (LRT), malam tadi.
Pengarah JBPM Kuala Lumpur, aNordin Pauzi berkata, ini berikutan lokasi kejadian di dalam terowong yang sempit dan menyukarkan pergerakan pasukan penyelamat.
“Kita perlu melalui laluan terowong sempit selain risiko elektrik. Jadi kita perlu berhati-hati dan mengambil banyak masa untuk proses mengeluarkan semua mangsa.
“Memandangkan kedudukan tren dengan stesen lebih kurang 100 meter dalam keadaan penumpang yang cedera, maka ia perlu dibuat secara berhati-hati untuk elak kecederaan lebih serius,” katanya pada sidang media di lokasi malam tadi.
Mengenai kejadian itu, Nordin berkata, pihaknya menerima laporan kejadian jam 8.45 malam sebelum beberapa jentera dikejarkan ke lokasi.
Katanya, operasi turut membabitkan beberapa agensi lain termasuk polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Rapid KL.
Malam tadi, sekurang-kurangnya 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala ratusan lagi cedera ringan dalam perlanggaran dua tren Transit Aliran Ringan (LRT), masing-masing dari arah Gombak dan Kelana Jaya di sini.
Kedua-dua tren dilaporkan bertembung kira-kira jam 8.45 malam di antara stesen Kampung Baru dan KLCC.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata tren dari Gombak membawa 213 penumpang manakala tren dari arah Kelana Jaya yang tidak membawa penumpang, dipercayai mengalami masalah teknikal sebelum pertembungan berlaku.
Beliau berkata, 166 penumpang dilaporkan mengalami luka ringan.
“Semua penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan beberapa hospital lain.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat 2010,” katanya malam tadi.
Sementara itu, sebahagian daripada mangsa kemalangan itu dibawa keluar melalui sebuah pusat beli-belah berhampiran.
Sehingga jam 10 malam tadi, puluhan ambulans bergegas ke lokasi bagi membawa mangsa mendapatkan rawatan.
Pihak penyelamat membabitkan pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) pegawai perubatan dari HKL dan pelbagai agensi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




