Insomniacks tampil single berbahasa Inggeris berjudul Love Me Or Not

Insomniacks tampil single berbahasa Inggeris berjudul Love Me Or Not

am@hmetro.com.my

Selepas mencuri perhatian menerusi deretan lagu hit berbahasa Melayu, kumpulan pop Insomniacks kini membuka lembaran baharu apabila tampil mempertaruhkan single penuh berbahasa Inggeris berjudul Love Me Or Not sebagai usaha menembusi pasaran antarabangsa.

Lagu yang diterbitkan Johan Gustafsson itu turut menyaksikan kolaborasi antarabangsa bersama barisan penulis lagu dari Sweden, sekali gus memberi nafas segar kepada perjalanan muzik kumpulan berkenaan.

Love Me Or Not digubah oleh Rebbi James, Johan Gustafsson, Iqie, Danial dan Iskandar, yang turut menulis lirik lagu ini. Proses adunan (mixing) dan mastering pula dikendalikan oleh Martin Hansen bersama Johan Gustafsson, menghasilkan sebuah karya pop moden yang segar namun masih mengekalkan identiti muzik Insomniacks.

Keputusan menghasilkan lagu dalam bahasa Inggeris bukan sesuatu yang asing buat mereka, sebaliknya dianggap peluang terbaik untuk memperluaskan pengaruh muzik ke luar Malaysia.

Mengangkat tema cinta tidak berbalas, Love Me Or Not menceritakan tentang seseorang yang tetap ikhlas menyayangi walaupun sedar dirinya bukan lagi sebahagian daripada kehidupan insan yang dicintai.

Lebih menarik, lagu itu sebenarnya tercipta secara spontan ketika sesi writing camp tanpa sebarang perancangan awal untuk dijadikan single utama.

Paling mengejutkan, keseluruhan lagu ini berjaya disiapkan dalam masa sehari sahaja. Apabila mendengarnya semula, Insomniacks terus jatuh hati dan tahu inilah lagu yang mahu dikeluarkan terlebih dahulu sebelum album baharu.

Peluang bekerjasama dengan pencipta lagu dari luar negara turut membuka perspektif baharu terhadap proses penulisan lagu dan memberi keyakinan untuk terus bereksperimen dengan idea kreatif selepas ini.

Dalam perkembangan sama, Insomniacks turut diumumkan sebagai ‘opening act’ (persembahan pembukaan) bagi konsert kumpulan pop-rock antarabangsa 5 Seconds of Summer yang bakal berlangsung pada 17 November dan 4 Disember depan, sekali gus menjadi satu lagi pencapaian penting dalam kerjaya mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top