Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi akan meneliti keperluan untuk menambah baik seterusnya memperkenalkan semula pakej perkhidmatan internet p-hailing Rahmah yang pernah ditawarkan kepada pemandu dan penunggang e-hailing pada Januari 2024.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata beliau akan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berhubung dengan penyedia platform e-hailing di negara ini bagi mendapatkan input mereka bagi tujuan berkenaan.
“Tahun lalu kita ada lancarkan pelan p-hailing Rahmah, tujuannya untuk bantu penunggang (rider) ini dapatkan pakej lebih murah dan saya lihat ada yang manfaatkannya namun pada masa sama mungkin kawan-kawan (pengguna) boleh bantu juga beri maklum balas, untuk kita lebih faham bagaimana kita boleh tambah baik.
“Jadi mungkin kita boleh membantu syarikat telco ini, galakkan untuk mereka memberikan kadar yang lebih baik. Jadi insya-Allah kita harap nanti ada pakej-pakej lebih baik untuk riders,” katanya.
Fahmi berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis FoodPanda Durian Runtuh 2.0 di KL Gateway Mall di sini hari ini.
Pada 23 Januari tahun lalu, Fahmi mengumumkan pemandu dan penunggang p-hailing boleh menikmati perkhidmatan internet p-hailing Rahmah yang ditawarkan pada harga serendah RM33 dengan pelan data sekurang-kurangnya 40GB.
Pelan ditawarkan hingga 23 April 2024 itu hasil kerjasama strategik syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi melibatkan CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM (Unifi Mobile) dan YTL Communications (Yes 5G) serta 16 penyedia platform p-hailing, antaranya FoodPanda, Grab, Bungkusit, Shopee dan Lalamove bagi menghargai jasa golongan pemandu dan penunggang p-hailing.
© New Straits Times Press (M) Bhd