Intan Maya terkejut dikecam netizen

Intan Maya terkejut dikecam netizen

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Petaling Jaya: “Uwekk, busuk nak muntah,” kata penyanyi versi baharu lagu Cinta Tersimpul Rapi iaitu Intan Maya mengulas kecaman yang diterimanya.

Menurutnya, kecaman itu tidak berkaitan dengan situasi sebenar lagu ini tetapi dia hairan mengapa mereka sanggup berbuat demikian.

“Benda-benda yang mereka sentuh tak ada kaitan, yang lari daripada isu pun. Mereka datang sekadar untuk sertai sesi maki memaki macam di laman sosial, itu sahaja.

“Mereka ibarat tambah dosalah bulan-bulan puasa ini, tak baik kan?,” katanya ditemui pada sidang media anjuran Suria Records Company (SRC) di Kopi & Studio, di sini, malam tadi.

Intan atau Intan Nor Mayasari, 25, adalah artis syarikat rakaman SRC yang dipilih menyanyikan semula lagu ini selepas ia popular menerusi versi AI (kecerdasan buatan) ciptaan Jane In Heaven.

Selepas lagu ini popular, SRC bertindak merakamkan semula lagu ciptaan Dr Azmeer Abu Bakar dan lirik Lukhman S ini dengan kepercayaan diberikan kepada Intan.

Bagaimanapun Intan terkejut apabila menerima kecaman hebat daripada peminat yang tidak menggemari nyanyiannya.

“Sebenarnya saya terkejut bila orang ‘start’ samakan AI dan juga manusia yang banyak kesilapan macam saya ini kan.

“Tapi saya pun tak salahkan Jane sebab kalau tanpa dia, tanpa lagu itu pun orang takkan kenal saya. Orang dah ‘start’ cari saya walaupun mungkin memang ada kesalahan ataupun kekurangan dalam lagu itu dan nyanyian saya tak sama dengan AI.

“Kalau nak kata sedih, dua minggu juga saya sedih. Bila release itu kan, dua minggu juga saya menangis, memang ada. Kadang-kadang mereka bukannya mengecam, tapi siap menghina,” katanya.

Menurutnya ketaksuban dengan AI membuatkan mereka membandingkannya dengan manusia.

“Sampai ada juga artis-artis legenda lain, penyanyi-penyanyi lain cover juga lagu itu pun kena kecam juga sebab tak sama dengan AI.

“Bila sedih itu ada jugalah saya bercakap dengan pihak SRC, mereka cuba tenangkan saya,” katanya.

Intan Maya bekas pelajar jurusan muzik di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) mula menyertai SRC sejak 2024 dan pernah menghasilkan beberapa single antaranya lagu Layak Bahagia yang tercalon dalam Top 5 Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) 2024.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top