am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Datin Intan Najuwa, 27, menafikan dakwaan dirinya mahu mempamerkan kemewahan apabila berkongsi kehidupannya di akaun media sosial.
Intan atau nama sebenarnya, Intan Najuwa Abdul Wahid berkata, dia memang berkongsi perkembangan dan aktiviti kehidupannya sebelum berkahwin lagi untuk menjadi inspirasi kepada orang luar.
“Apa yang saya muat naik di akaun media sosial itu untuk menggembirakan diri sendiri dan cara untuk berinteraksi dengan pengikut.
“Saya memang kongsi perkembangan dan aktiviti kehidupan di media sosial dari sebelum kahwin supaya jadi inspirasi kepada orang luar dan mahu orang tengok semuanya dari sudut yang baik dan positif.
“Janganlah ambil perkara itu sebagai saya nak ‘show off’ kerana itu memang aktiviti sebenar saya sebagai isteri dan ibu di rumah. Ia bukan lakonan seperti buat-buat tolak ‘stroller’ (kereta sorong bayi) dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan bersama Yayasan Nurjiwa anjuran syarikat Inayah Beauty yang berlangsung di sini, petang semalam.
Mengenai jururawat peribadi yang menjaga anaknya Imane Lunara, kini berusia tujuh bulan pula, kata Intan, suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman yang mengambil jururawat untuk menjaga anaknya itu.
“Alhamdulillah, suami sediakan jururawat untuk anak. Mungkin suami hendak memudahkan urusan saya sebab saya paronoid dan mungkin suami berasa benda itu boleh tenangkan isterinya ini.
“Niat saya sama macam ibu-ibu di luar sana yang mahukan yang terbaik untuk anak dan saya akan bagi yang terbaik apa yang saya boleh.
“Tapi jangan rasa bila tiada pengasuh anda berasa diri kurang sebagai ibu kerana ia rezeki masing-masing kerana setiap ibu nak yang terbaik untuk anak mereka,” katanya.
Mengulas komen negatif di media sosial pula, Intan menegaskan dia hanya mengambil komen yang baik dan positif sahaja di media sosial.
Terdahulu, keterbukaan Intan berkongsi kehidupannya yang nampak mewah turut mendapat pelbagai reaksi dari netizen di media sosial.
Intan mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Azraf yang juga ahli perniagaan pada 18 Ogos 2023.
Pada 15 Disember tahun lalu, Intan berkongsi hantaran di Instagram (IG) mengenai kelahiran cahaya mata perempuan iaitu Imane Lunara.
© New Straits Times Press (M) Bhd