mdroji@bh.com.my
Kuching: Tiga elemen utama perlu menjadi pegangan generasi baru Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani tugas yang semakin mencabar.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Hamzah Ahmad berkata, tiga elemen yang harus diberi fokus itu ialah integriti, celik teknologi dan disiplin.
Beliau berkata, elemen itu penting bagi memperkukuh pasukan polis dalam mengharungi cabaran getir melaksanakan tanggungjawab.
Menurutnya, dalam landskap dunia digital dan media sosial yang serba pantas, setiap anggota PDRM harus diberi pendedahan teknologi serta mengekalkan integriti tanpa kompromi.
“Kredibiliti pasukan bergantung kepada tindakan setiap anggotanya dan latihan asas ini bukan saja menekankan aspek fizikal, malah turut membina daya tahan mental dan rohani bagi berdepan tekanan tugas dengan bijaksana,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Siri 1/2024 Zon Sabah dan Sarawak di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching, di Jalan Puncak Borneo, hari ini.
Seramai 294 pelatih menamatkan latihan, terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), diploma dan Ijazah Sarjana Muda.
Menurutnya, generasi baru dalam pasukan polis perlu menguasai ilmu pengetahuan semasa, bagi mendepani elemen jenayah yang semakin kompleks.
“Isu keselamatan semasa yang sentiasa berubah juga menuntut pasukan polis juga harus berubah.
“Ini termasuk meningkatkan ilmu pengetahuan untuk menangani jenayah siber, penipuan dalam talian, fitnah di media sosial, penyebaran berita palsu dan ekstremisme,” katanya.
Pada majlis itu, Hamzah menyampaikan anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan kepada Konstabel Suhaimi Sarman; Pelatih Terbaik Akademik, Konstabel Alfred Johari dan Pelatih Terbaik Latihan Luar, Konstabel Azroy Azmon Juanis.
Kesemuanya pelatih cemerlang PLAK Siri 1/2024 itu berasal dari Sabah.
© New Straits Times Press (M) Bhd