Integriti, manfaat ilmu cerminan amanah ilmuwan

Integriti, manfaat ilmu cerminan amanah ilmuwan

Tanggal 5 Oktober setiap tahun adalah Hari Akademia di Malaysia sebagai penghargaan terhadap jasa dan sumbangan ahli akademik di institusi pendidikan tinggi negara. Sejak 2019, tarikh tersebut dipilih sebagai Hari Akademia, manakala Oktober diiktiraf sebagai Bulan Akademia.

Sambutan tersebut bukan sekadar meraikan pencapaian warga akademik, tetapi menjadi ruang untuk menghayati kembali peranan mereka dalam mengembangkan ilmu, mendidik generasi serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Dunia akademia sering dikaitkan dengan pengajaran, penyelidikan, penerbitan dan kepakaran. Namun, dari perspektif Islam, tanggungjawab seorang akademia jauh lebih besar daripada pencapaian akademik dan kemajuan kerjaya semata-mata.

Ilmu yang dimiliki adalah suatu amanah yang perlu dimanfaatkan untuk memperbaiki dan membugar kehidupan ummah. Islam memberikan kedudukan yang tinggi kepada orang berilmu.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”

Ketinggian kedudukan orang berilmu datang bersama tanggungjawab yang besar. Rasulullah SAW turut bersabda yang bermaksud: “Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Hadis ini menunjukkan bahawa ilmu bukan sekadar untuk dimiliki, tetapi perlu disampaikan dan dimanfaatkan. Dalam konteks akademia hari ini, tanggungjawab tersebut menuntut ahli akademik memastikan ilmu terus berkembang, disampaikan dengan penuh integriti dan memberi manfaat kepada kehidupan manusia.

Ilmu adalah amanah

Amanah pertama seorang akademia ialah amanah terhadap ilmu. Dunia akademia dibina atas pencarian kebenaran dan kejujuran intelektual. Penyelidikan perlu dilakukan dengan penuh integriti, fakta perlu disampaikan dengan tepat dan sumber ilmu perlu dihormati.

Pelbagai ukuran digunakan untuk menilai pencapaian ahli akademik seperti penerbitan, geran penyelidikan, sitasi, inovasi, jaringan antarabangsa dan petunjuk prestasi lain. Semua pencapaian tersebut penting dalam memastikan kecemerlangan individu serta institusi dan wajar terus dipertingkatkan.

Namun, keinginan untuk menghasilkan penerbitan, memperoleh geran, meningkatkan sitasi atau mencapai kemajuan kerjaya tidak seharusnya mengatasi prinsip amanah terhadap ilmu. Pencapaian akademik perlu berjalan seiring dengan integriti dan tanggungjawab. Ilmu yang dibangunkan tanpa integriti mungkin memberikan pencapaian pada angka dan pangkat, tetapi kehilangan nilai dan keberkatan.

Mendidik bukan sekadar mengajar

Amanah seorang akademia juga merangkumi tanggungjawab terhadap pelajar. Tugas akademia bukan sekadar menyampaikan kandungan kursus, memberikan tugasan, menjalankan penilaian dan menentukan gred.

Pendidikan dalam Islam mempunyai matlamat lebih besar, iaitu membentuk manusia berilmu, beradab dan mampu menggunakan pengetahuan secara bertanggungjawab.

Mengajar mungkin berlaku apabila pengetahuan berjaya disampaikan, tetapi mendidik menuntut sesuatu yang lebih besar. Pendidik bukan sahaja memindahkan ilmu, tetapi turut membentuk cara berfikir, sikap dan nilai seseorang pelajar.

Pelajar mungkin melupakan sebahagian daripada apa yang dipelajarinya dalam bilik kuliah, tetapi nilai amanah, disiplin, adab, integriti dan kecintaan terhadap ilmu yang ditanam oleh seorang pendidik boleh kekal sepanjang kehidupannya. Justeru, kejayaan seorang akademia bukan hanya dilihat melalui ilmu yang disampaikan atau keputusan pelajarnya, tetapi sejauh mana pendidikan tersebut membentuk pemikiran, keperibadian dan tindakan generasi yang dididiknya.

Ilmu mesti turun kepada masyarakat

Amanah akademia tidak terhenti dalam bilik kuliah atau lingkungan universiti. Ilmu perlu keluar daripada menara gading dan menyantuni realiti kehidupan masyarakat.

Penyelidikan seharusnya bukan hanya berakhir dengan penerbitan artikel atau pembentangan dalam persidangan, tetapi sedapat mungkin menyumbang kepada penyelesaian permasalahan sebenar masyarakat.

Ahli akademik mempunyai kepakaran yang boleh digunakan untuk memahami permasalahan dan menawarkan penyelesaian. Pakar agama boleh memberikan pencerahan terhadap persoalan hukum dan kehidupan semasa, pakar undang-undang membantu masyarakat memahami hak dan tanggungjawab, manakala kepakaran dalam bidang ekonomi, sains, kesihatan, teknologi dan pendidikan boleh digunakan untuk meningkatkan kesejahteraan manusia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang manusia meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya” (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis tersebut memberikan ukuran penting kepada dunia akademia. Nilai ilmu bukan semata-mata pada berapa banyak karya yang diterbitkan, tetapi sejauh mana ilmu tersebut dimanfaatkan.

Penulisan yang membantu masyarakat, penyelidikan yang membawa perubahan, idea yang memperbaiki sesuatu sistem atau pelajar yang kemudian menyebarkan kebaikan merupakan antara bentuk kesinambungan manfaat ilmu.

Membugar kehidupan ummah

Peranan akademia dalam membugar kehidupan ummah semakin penting apabila masyarakat berhadapan dengan perubahan yang pantas. Membugar bermaksud memperbaiki, memperelok semula, membaharui atau memulihkan sesuatu supaya kembali baik dan segar.

Ilmu dan kepakaran seharusnya menjadi instrumen penting untuk membawa penambahbaikan kepada kehidupan masyarakat.

Perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan, perubahan sosial, cabaran ekonomi, keruntuhan nilai, kekeliruan maklumat serta pelbagai persoalan kehidupan menuntut panduan ilmu yang tepat dan berautoriti. Akademia perlu hadir bersama masyarakat dengan menggunakan kepakaran untuk memahami permasalahan dan menawarkan penyelesaian yang bersesuaian.

Membugar ummah juga bermaksud membina masyarakat yang mencintai ilmu. Akademia mempunyai tanggungjawab membawa perbincangan berasaskan fakta dan ilmu ke tengah masyarakat, khususnya ketika manusia semakin mudah terdedah kepada maklumat yang tidak tepat.

Kehadiran ilmuwan diperlukan supaya masyarakat dapat membezakan antara fakta dengan pandangan, ilmu dengan sangkaan serta maklumat yang sahih dengan maklumat yang mengelirukan.

Sempena Hari Akademia yang disambut pada 5 Oktober, setiap ahli akademik wajar bermuhasabah tentang amanah ilmu yang dipikul.

Ilmu bukan hanya untuk membina nama, kedudukan atau kerjaya, tetapi menjadi jalan untuk membina manusia dan memperbaiki kehidupan.

Akhirnya, akademia yang hebat bukan hanya dinilai melalui gelaran, penerbitan atau pencapaian sepanjang kerjayanya. Nilai sebenar seorang akademia terletak pada amanahnya terhadap ilmu dan manfaat yang ditinggalkan kepada manusia.

Apabila ilmu disampaikan dengan jujur, pelajar dididik dengan penuh tanggungjawab, penyelidikan digunakan untuk menyelesaikan masalah dan kepakaran dikongsi untuk kebaikan masyarakat, maka akademia bukan sahaja mengembangkan ilmu, bahkan turut membugar kehidupan ummah.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top