Dalam menelusuri arus permodenan dunia yang semakin mencabar, perancangan masa depan sesebuah negara tidak boleh hanya berpaksikan kepada kemajuan material, kecanggihan infrastruktur atau ledakan sains dan teknologi semata-mata.
Sebagai seorang Muslim yang melihat masa depan melalui lensa akidah dan syariat, asas utama kelangsungan sesebuah tamadun adalah nilai integriti dan amanah.
Islam meletakkan kedudukan penjawat awam dan pemimpin masyarakat di satu makam sangat tinggi, bukan sekadar pekerjaan untuk menyara hidup, tetapi satu taklifan atau tanggungjawab berat yang akan dihisab di hadapan Allah SWT.
Al-Quran al-Karim dengan tegas menetapkan garis panduan yang jelas mengenai larangan mengambil harta secara batil. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”. (Surah al-Baqarah ayat 188)
Ayat ini bukan sekadar larangan undang-undang, tetapi satu amaran keras daripada pencipta alam semesta. Istilah ‘makan’ yang digunakan dalam ayat ini membawa konotasi bahawa harta haram itu akan menjadi darah daging, membentuk peribadi dan akhirnya mempengaruhi setiap tindak-tanduk seseorang.
Rasulullah SAW sebagai model integriti terunggul memberikan amaran yang sangat menakutkan berkaitan rasuah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam penetapan hukum”. (Hadis Riwayat Tirmizi)
Laknat Allah bermaksud jauh daripada rahmat-Nya. Bayangkan seorang penjawat awam yang hidup mewah dengan hasil rasuah, namun kehidupannya dan keluarganya dijauhkan daripada rahmat Allah. Tiada ketenangan jiwa, tiada keberkatan dalam rezeki dan sentiasa diselubungi kegelisahan.
Lebih dahsyat lagi, dalam konteks penyalahgunaan kuasa, Nabi SAW pernah menegur seorang pegawai pemungut zakat bernama Ibn Lutbiyyah yang menerima hadiah daripada orang ramai. Baginda naik ke mimbar dan bersabda dengan tegas: “Mengapa ada pegawai yang kami utus untuk tugas tertentu kemudian dia datang dan berkata: ‘Ini untuk kalian (zakat) dan ini hadiah untukku. Cubalah dia duduk saja di rumah ayahnya atau ibunya, adakah dia akan diberi hadiah itu?'” (Hadis Riwayat Bukhari)
Hadis ini menjadi dalil yang sangat kuat bahawa sebarang bentuk ‘hadiah’ diterima atas kapasiti jawatan rasmi adalah satu bentuk ghulul (pengkhianatan) dan rasuah terselindung yang wajib ditolak.
Keburukan dan akibat hilangnya integriti dalam kalangan umat Islam, khususnya penjawat awam adalah sangat parah dan melangkaui kerugian wang ringgit. Daripada sudut pandang ulama dan ahli tasawuf, memakan harta haram akan menggelapkan hati (qalb). Hati yang gelap akan sukar menerima kebenaran, malas beribadah dan cenderung melakukan maksiat lain. Doa mereka juga tidak akan dimakbulkan oleh Allah SWT. Rasulullah SAW pernah menceritakan perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, rambutnya kusut masai dan berdebu, menadah tangan ke langit berdoa, “Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku!”, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dibesarkan dengan yang haram, maka bagaimanakah doanya akan dimakbulkan?
Ini adalah malapetaka terbesar bagi seseorang Muslim. Jika doa tidak dimakbulkan, hilanglah senjata utama orang Mukmin dalam menghadapi cabaran hidup. Dalam konteks kenegaraan, apabila rasuah berleluasa, keadilan akan mati.
Kecanggihan teknologi di Malaysia kini ibarat pedang dua mata. Tanpa integriti yang utuh, teknologi boleh menjadi alat untuk memanipulasi, menipu dan menyembunyikan jenayah kolar putih dengan lebih licik. Sistem perolehan kerajaan yang didigitalkan, sebagai contoh untuk ketelusan, tetapi jika pengendali sistem tiada rasa takut kepada Allah (takwa), ketirisan tetap akan berlaku melalui cara yang lebih canggih.
Islam mengajar kita kemajuan sains tidak boleh terpisah daripada nilai akhlak.
Oleh itu, usaha Malaysia membanteras masalah integriti melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) perlu disokong bukan hanya sebagai satu dasar kerajaan, tetapi sebagai satu jihad memerangi kemungkaran.
Bagaimanapun, rakyat Malaysia menghadapi cabaran yang sangat getir dalam usaha memurnikan integriti ini.
Cabaran pertama budaya materialisme yang semakin menebal. Tekanan gaya hidup untuk kelihatan mewah di media sosial mendorong segelintir penjawat awam dan swasta mencari jalan pintas untuk kaya, melupakan halal dan haram. Ukuran kejayaan bukan lagi pada keberkatan, tetapi pada jenama kereta dan saiz rumah.
Cabaran kedua adalah normalisasi budaya ‘duit kopi’ atau ‘jalan belakang’ yang dianggap sebagai pelincir urusan. Budaya ini perlu dikikis sepenuhnya kerana ia menafikan hak orang lain yang jujur dan mengikut prosedur.
Cabaran ketiga adalah keberanian menegur dan melaporkan salah laku. Prinsip amar Makruf nahi mungkar (menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran) adalah tanggungjawab kolektif. Ulama menekankan bahawa mendiamkan diri terhadap kezaliman rasuah sebahagian daripada kezaliman itu sendiri. Perancangan masa depan Malaysia yang gemilang dan diberkati hanya akan tercapai jika elemen kerohanian dan integriti jadi tunjang utamanya.
Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan
© New Straits Times Press (M) Bhd




