KUALA NERUS – Penerapan nilai integriti dan amalan tadbir urus yang baik dalam kalangan mahasiswa perlu terus diperkukuh bagi melahirkan barisan pemimpin masa depan negara yang beretika, berwibawa dan berkeupayaan memacu pembangunan nasional.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata universiti komited dalam melahirkan mahasiswa idaman yang holistik, seimbang dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan negara pada masa hadapan.
“Penerapan nilai integriti dan amalan tadbir urus yang baik merupakan antara elemen penting dalam pembentukan mahasiswa holistik. Kita bukan sekadar mahu melahirkan graduan berilmu, tetapi pemimpin muda yang berakhlak, beretika dan mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara,” katanya.
Menurutnya, dalam landskap kepimpinan yang semakin mencabar, mahasiswa bukan sahaja dituntut cemerlang dari segi akademik, malah perlu memiliki sahsiah, nilai moral dan kebolehan mentadbir yang tinggi.
Beliau berkata demikian ketika penganjuran Bengkel Pemantapan Organisasi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2025/2026 yang berlangsung di Janda Baik, Pahang, baru-baru ini.
Ujarnya, kepimpinan pelajar khususnya dalam Majlis Perwakilan Pelajar merupakan medan latihan awal yang penting untuk membentuk keupayaan mentadbir, mengurus amanah serta memupuk rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.
“Pendedahan melalui program pembangunan kepimpinan seperti bengkel dan latihan berstruktur diyakini mampu melahirkan mahasiswa yang lebih matang dan bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar”.
Sementara itu, Yang Di-Pertua, Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2025/2026, Wan Darwisy Khazin Wan Ahmad Rosddy menyifatkan program pemerkasaan mahasiswa berupaya membentuk ciri kepimpinan dan keperibadian unggul.
“Penganjuran program pemerkasaan mahasiswa amat diperlukan serta memberi pendedahan kepada pemimpin mahasiswa berkaitan pengurusan organisasi, pertimbangan membuat keputusan secara telus dan bertanggungjawab selain mengukuhkan kefahaman terhadap etika kepimpinan”.
Penekanan amalan tadbir urus yang baik turut menjadi asas kepada prinsip ketelusan, akauntabiliti pelajar universiti dipercayai mampu membawa nilai-nilai murni ke dalam sektor awam, swasta mahupun kepimpinan komuniti.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu



