Inter diuji, perebutan makin sengit

Inter diuji, perebutan makin sengit

Rom: Inter Milan berdepan ujian penting apabila bertandang ke gelanggang Fiorentina, Isnin ini dalam usaha mengukuhkan kedudukan di puncak Serie A.

Walaupun masih mendahului lapan mata, dua keputusan kurang memberangsangkan, tewas kepada AC Milan dan seri dengan Atalanta, mula memberi tekanan kepada skuad kendalian Cristian Chivu.

Lebih merisaukan, Inter bakal berdepan Fiorentina yang semakin menunjukkan peningkatan apabila hanya tewas sekali dalam enam perlawanan terakhir.

Kapten pasukan, Lautaro Martinez masih diragui tahap kecergasan, sekali gus meletakkan harapan kepada Marcus Thuram untuk mengemudi jentera serangan.

Sementara itu, AC Milan perlu segera bangkit apabila berdepan Torino selepas kekalahan kepada Lazio minggu lalu.

Pengendali, Massimiliano Allegri menggesa pemain ‘reset’ mental menjelang aksi penting itu.

Penyerang utama, Rafael Leao dilihat kecewa selepas dikeluarkan, manakala Christian Pulisic masih mencari sentuhan gol selepas kemarau panjang.

Dalam satu lagi aksi, Napoli semakin hampir dengan tempat kedua dan hanya satu mata di belakang Milan.

Pengendali, Antonio Conte menyifatkan baki saingan sebagai “kejohanan mini” yang bakal menentukan hala tuju musim.

Kepulangan beberapa tonggak seperti Romelu Lukaku dan Kevin De Bruyne memberi kelebihan buat Napoli untuk terus memberi tekanan.

Dalam pada itu, kelab sensasi, Como kendalian Cesc Fabregas terus mencuri perhatian apabila kini berada di tangga keempat.

Kemenangan ke atas Pisa hujung minggu ini berpotensi mengukuhkan lagi kedudukan mereka untuk memburu slot Liga Juara-Juara.

Dengan hanya sembilan perlawanan berbaki, saingan Serie A kini memasuki fasa paling kritikal dengan setiap mata menjadi penentu kepada kejuaraan dan slot Eropah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top