‘Inter lupakan kelebihan satu gol’

‘Inter lupakan kelebihan satu gol’

GERGASI Serie A, Inter Milan mungkin memiliki kelebihan tipis satu gol dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara menentang gergasi Bundesliga, Bayern Munich, selepas meraih kemenangan pada perlawanan pertama.

Namun pengendali Nerazzurri, Simone Inzaghi, menegaskan anak buahnya perlu melupakan kelebihan tersebut menjelang perlawanan timbal balik yang dijangka sengit pada Rabu ini.

Jaringan dramatik Davide Frattesi pada minit ke-88 minggu lalu memastikan kemenangan 2-1 buat Inter di gelanggang Bayern yang tampak terkejut, sekali gus menyemarakkan impian kelab Itali itu untuk meraih treble musim ini.

Skuad kendalian Inzaghi kini selesa tiga mata di puncak Serie A, meninggalkan pencabar terdekat Napoli, dan turut melangkah ke separuh akhir Coppa Italia.

Ketika ditanya sama ada tekanan untuk bersaing di pelbagai pentas menyebabkan skuad Inter tegang menjelang pertemuan dengan Bayern, Inzaghi memberitahu wartawan: “Lebih daripada ketegangan, terdapat kebanggaan yang besar atas perkembangan musim ini.”

“Esok (Rabu) akan menjadi perlawanan yang sangat sukar. Kami perlu melupakan keputusan perlawanan pertama tetapi tidak melupakan persembahan kami kerana kami bermain dengan baik di Munich.

“Kami sedar akan kualiti lawan yang sangat tinggi. Kami perlu menampilkan permainan yang hebat dengan mentaliti yang tepat.”

Inzaghi turut memuji kualiti skuad Bayern dan pengaruh jurulatih Vincent Kompany, sambil menambah: “Menang di Munich adalah sukar, anda perlu bermain dengan baik. Kami gembira tetapi kami tahu ia bukanlah penentuan.”

Scroll to Top