Pasadena, Amerika Syarikat: Inter Milan terikat 1-1 dengan Monterrey dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E Piala Dunia Kelab FIFA di Pasadena, hari ini.
Penyerang Argentina, Lautaro Martinez menjaringkan gol penyamaan hasil usaha kemas selepas jaringan pembukaan Sergio Ramos bagi Monterrey di hadapan 40,311 penonton di Rose Bowl.
Inter yang bermain perlawanan pertama mereka sejak kalah 0-5 kepada Paris Saint-Germain pada final Liga Juara-Juara awal bulan ini, menyesali kegagalan mereka menukarkan penguasaan bola dan kawalan padang menjadi gol.
Gergasi Itali itu mengawal permainan hampir sejak sepak mula, dengan Benjamin Pavard menjadi yang pertama mengancam dengan rembatan melepasi palang pada minit ke-8.
Matteo Darmian sepatutnya menambah jaringan pada minit ke-22 tetapi melepaskan rembatan ke atas selepas aksi bijak dari Nicolo Barella di sebelah kiri.
Namun walaupun serangan awal itu, Inter digugat pada minit ke-25 apabila Monterrey menjaringkan gol hasil salah satu serangan mereka yang jarang masuk ke kawasan Inter.
Pemain tengah Oliver Torres melancarkan sepakan sudut dari sebelah kanan dan Ramos, bekas bintang Real Madrid dan Sepanyol yang berusia 39 tahun berjaya melepasi pertahanan Francesco Acerbi sebelum menanduk bola ke sudut bawah gol.
Martinez juga hampir menjaringkan gol pada minit ke-36, dan Inter membuat rayuan penalti apabila tandukan Pavard terkena tangan Ramos di dalam kawasan penalti.
VAR memihak kepada Ramos dan Monterrey terlepas hukuman.Tiga minit kemudian Inter menyamakan kedudukan dengan satu sepakan percuma.
Kristjan Asllani, pemain antarabangsa Albania, kelihatan ingin merembat dari jarak 25 ela tetapi membuat lambungan di belakang pertahanan Monterrey.
Pemain antarabangsa Brazil, Carlos Augusto, berlari tepat pada masanya dan mengumpan ke arah Martinez yang menolak bola masuk untuk gol penyamaan 1-1.
Dalam perlawanan lain, juara Afrika Selatan, Mamelodi Sundowns memenangi perlawanan pembukaan mereka menerusi jaringa tunggal penyerang Iqraam Rayners ketika menang 1-0 ke atas Ulsan HD dari Korea Selatan.
Kemenangan meletakkan naib juara Liga Juara-Juara Afrika itu di tangga teratas Kumpulan F selepas Borussia Dortmund terikat 0-0 dengan Fluminense.
Ia juga kemenangan pertama untuk pasukan Afrika dalam kejohanan 32 pasukan yang baharu di Amerika Syarikat selepas Al Ahly dari Mesir seri dalam perlawanan pembukaan mereka, manakala Esperance dari Tunisia tewas kepada Flamengo pada hari Isnin.
Gol Rayners dijaringkan sembilan minit sebelum separuh masa pertama di Stadium Inter & Co dalam perlawanan yang ditangguhkan lebih sejam akibat ancaman kilat di Florida tengah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




