Inter singkir River Plate

Inter singkir River Plate

Seattle, Washington: Inter Milan menjaringkan dua gol dalam tempoh 18 minit terakhir untuk menewaskan River Plate 2-0 awal pagi tadi dan mara ke peringkat kalah mati Piala Dunia Kelab sebagai juara Kumpulan E, sekali gus menyingkirkan pasukan dari Argentina itu.

Pemain remaja Francesco Esposito memecahkan kebuntuan tidak lama selepas River kehilangan seorang pemain akibat layangan kad merah kepada Lucas Martinez Quarta, dengan Alessandro Bastoni menambah gol kedua pada masa kecederaan.

Juara Itali sebanyak 20 kali itu akan menentang kelab Brazil, Fluminense di pusingan 16 terakhir di Charlotte pada awal pagi Selasa, manakala Monterrey yang menewaskan Urawa Red Diamonds 4-0, mara selaku naib juara kumpulan dengan kelebihan satu mata di hadapan River.

Perlawanan sengit itu menjadi panas selepas gol Bastoni, apabila pemain River, Gonzalo Montiel turut dilayangkan kad merah selepas menerima dua kad kuning dalam insiden tolak-menolak yang berlarutan sehingga pemain meninggalkan padang.

“Kami gembira melaksanakan tugas kami dan layak ke peringkat seterusnya dalam kejohanan ini,” kata jurulatih Inter, Cristian Chivu.

“Separuh masa pertama sangat sukar untuk kami, River bermain dengan agresif dan penuh intensiti. Di separuh masa kedua, kami lebih mengawal permainan dan selepas kad merah, ia jadi lebih mudah untuk kami.”

Keluarnya Martinez Quarta selepas menjatuhkan Henrikh Mkhitaryan selaku pertahanan terakhir menjadi titik tolak perlawanan, dengan gol pertama Inter hadir tujuh minit kemudian.

Esposito melakukan kawalan kemas hasil hantaran Petar Sucic untuk mengaturkan kaki kanannya sebelum berpusing dan meledak bola ke gawang.

River mula keletihan apabila Bastoni melepasi pertahanan yang mula longlai untuk menjaringkan gol kedua Inter dengan sepakan kaki kiri rendah lima minit ke dalam masa tambahan.

Kehadiran besar penyokong River di Lumen Field menjadikan suasana amat meriah dari awal dan mereka disajikan perlawanan penuh aksi fizikal walaupun tanpa sebarang gol sehingga suku terakhir.

Gerakan terbaik River banyak digerakkan oleh pemain tengah berusia 17 tahun yang akan menyertai Real Madrid, Franco Mastantuono, namun hanya satu daripada beberapa percubaannya yang tepat ke gawang.

Esposito juga mempunyai beberapa peluang baik untuk membuka jaringan, manakala kaptennya Lautaro Martinez mensia-siakan banyak peluang termasuk satu percubaan terkena tiang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top