hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Interpol sedang mengatur proses merakam keterangan anak Datin Seri Pamela Ling Yueh, yang dilaporkan hilang pada 9 April lalu bagi membantu siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, proses itu dijangka akan dilakukan di Kedutaan Malaysia di Singapura dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, setakat ini pihaknya sudah merakam keterangan 25 saksi berhubung kes berkenaan.
“Rakaman percakapan anak-anak mangsa sedang diatur oleh pihak Interpol untuk dirakam di Kedutaan Malaysia di Singapura dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, setakat ini juga lakaran wajah seorang suspek yang dipercayai terbabit kes berkenaan sudah diperoleh polis.
“Hasil padanan foto fit adalah 40 peratus,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, polis masih dalam proses merakam keterangan saksi lain termasuk anak kepada Pamela Ling.
Polis juga meminta beberapa saksi termasuk anak-anak kepada Pamela Ling yang berada di Singapura agar tampil memberi keterangan kepada pihak polis bagi membantu siasatan kes penculikan wanita terbabit.
Bagaimanapun, sekiranya saksi gagal memberikan kerjasama, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, pihak polis terpaksa mendapatkan bantuan pihak berkuasa Singapura.
Terdahulu media melaporkan, kehilangan Datin Seri Pamela Ling menjadi tanda tanya apabila dikatakan diculik ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.
Pamela, isteri kepada ahli perniagaan dari Sarawak, dilaporkan hilang selepas menaiki perkhidmatan e-hailing dari Cheras ke pejabat SPRM.
Saksi mendakwa kenderaan dinaikinya dihalang tiga kereta dan dia kemudian dibawa pergi oleh individu memakai pakaian polis.
© New Straits Times Press (M) Bhd




