Los Angeles: Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach mengumumkan bahawa ikon renang Amerika Syarikat (AS), Gary Hall Jr, akan diberikan set pingat baru bagi menggantikan pingatnya yang musnah dalam kebakaran di Los Angeles.
Hall terpaksa berpindah dengan segera dari rumahnya di Pacific Palisades minggu ini selepas kebakaran besar melanda kawasan tepi laut itu.
Menurut Hall, dia hanya sempat membawa anjingnya, insulin untuk merawat diabetes, sebuah lukisan datuknya, dan satu artifak keagamaan ketika melarikan diri.
Dia tidak sempat kembali ke rumah untuk mengambil lima pingat emas, tiga perak dan dua gangsa yang dimenanginya dalam tiga temasya Olimpik pada 1996, 2000 dan 2004.
“Saya terkena percikan bara api semasa percubaan pertama untuk menyelamatkan barang. Jadi saya hanya ambil anjing saya dan sedikit makanan anjing, itu sahaja,” katanya kepada Los Angeles Times.
Bach dalam satu hantaran di Twitter menyatakan bahawa Hall akan diberikan pingat replika untuk menggantikan yang hilang akibat kebakaran itu.
“Ketika ini, tumpuan penuh harus diberikan kepada usaha memadamkan kebakaran dan melindungi nyawa serta harta benda.
“Kami juga dimaklumkan bahawa seorang Olimpian hebat, Gary Hall Jr kehilangan pingat-pingatnya dalam kebakaran ini. IOC akan memberikan replika kepadanya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




