IOC perkenal ujian jantina bermula Olimpik 2028

IOC perkenal ujian jantina bermula Olimpik 2028

Lausanne: Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengumumkan hanya atlet wanita biologi dibenarkan bertanding dalam acara wanita, sekali gus menghalang penyertaan atlet transgender wanita.

IOC akan memperkenalkan semula ujian jantina bagi menentukan kelayakan bermula Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Langkah itu turut menjejaskan penyertaan atlet yang mempunyai perbezaan perkembangan seksual (DSD).

Dalam perubahan besar dasar, IOC meninggalkan pendekatan 2021 yang memberi kebebasan kepada setiap persekutuan sukan menentukan polisi sendiri, sebaliknya kini melaksanakan satu dasar seragam bagi semua sukan Olimpik.

“Kelayakan bagi mana-mana acara wanita di Sukan Olimpik atau acara IOC lain, termasuk sukan individu dan berpasukan, kini terhad kepada wanita biologi yang ditentukan menerusi saringan gen SRY sekali sahaja,” menurut kenyataan IOC.

Ujian itu akan dijalankan melalui sampel air liur, swab pipi atau darah dan hanya dilakukan sekali sepanjang hayat atlet.

Presiden IOC, Kirsty Coventry berkata dasar itu berasaskan sains serta dipandu pakar perubatan.

“Di Sukan Olimpik, perbezaan kecil boleh menentukan kemenangan atau kekalahan.

“Jadi jelas tidak adil untuk lelaki biologi bertanding dalam kategori wanita. Dalam beberapa sukan, ia juga boleh menimbulkan isu keselamatan.”

Coventry turut menegaskan dasar berkenaan bertujuan memastikan kesaksamaan, keadilan serta keselamatan dalam pertandingan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top