IOI Properties, AFFIN Bank jalin kerjasama tingkat fleksibiliti pembiayaan hartanah

IOI Properties, AFFIN Bank jalin kerjasama tingkat fleksibiliti pembiayaan hartanah

PUTRAJAYA – IOI Properties Group Berhad (IOIPG) menjalin kerjasama strategik dengan AFFIN Bank bagi memperkenalkan penyelesaian pembiayaan yang lebih fleksibel kepada pembeli hartanah kediaman dan komersial di beberapa lokasi terpilih di Lembah Klang serta Johor.

Melalui kerjasama itu, IOIPG menjadi pemaju hartanah pertama diumumkan sebagai rakan bagi penyelesaian pembiayaan AFFIN Home Reno/-i dan Flexi Save/-i.

Inisiatif tersebut memberi akses kepada pelbagai kemudahan pembiayaan yang membantu pembeli mendapatkan rumah atau premis perniagaan dengan lebih mudah serta fleksibel.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pembangunan Hartanah (Malaysia), Teh Chin Guan berkata, kerjasama berkenaan bertujuan menyediakan sokongan kewangan yang lebih baik kepada pembeli hartanah dalam pembangunan IOI Properties.

“Kami gembira bekerjasama dengan AFFIN Bank bagi memberi akses lebih baik kepada pembeli hartanah kediaman dan komersial untuk mendapatkan pembiayaan bagi memiliki rumah idaman serta alamat perniagaan bersama IOI Properties.

“Penyelesaian pembiayaan ini memberikan fleksibiliti kewangan lebih besar kepada pelanggan untuk membina masa depan dengan yakin dalam bandar yang dirancang dengan baik dan mempunyai rangkaian infrastruktur kukuh,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN Bank, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, penyelesaian pembiayaan yang ditawarkan itu bertujuan membantu pemilik rumah merancang kediaman ideal mereka dengan lebih tenang.

Menurutnya, kemudahan tersebut juga memberi peluang kepada pelabur memiliki premis perniagaan dengan fleksibiliti kewangan yang lebih baik.

“Melalui AFFIN Home Reno/-i, kos pinjaman rumah dan pengubahsuaian digabungkan dalam satu pakej dengan margin pembiayaan sehingga 120 peratus.

“Ini memberi kebebasan kepada pemilik rumah untuk merancang reka bentuk dalaman kediaman mereka sejak hari pertama,” katanya.

Tambah beliau, kemudahan AFFIN Flexi Save/-i pula membolehkan peminjam mengimbangi baki pembiayaan dengan simpanan deposit sekali gus berpotensi mengurangkan bayaran faedah atau keuntungan.

Antara pembangunan kediaman yang terlibat dalam kerjasama tersebut termasuk Arawani di Bandar Puteri Bangi, Aster di 16 Sierra Puchong South, 2Rio Residences di Bandar Puteri Puchong, GEMS Residences di IOI Resort City serta Sonatia 3 di Bandar Putra Kulai, Johor.

Bagi pembangunan komersial pula, projek yang terlibat termasuk The Cube Plus di Bandar Puteri Puchong, Davallia di Bandar Puteri Bangi dan Senna Square di Senna Puteri, Salak Tinggi yang mempunyai akses strategik kepada rangkaian lebuh raya utama.

IOI Properties Group merupakan antara syarikat hartanah terbesar di Malaysia dengan pengalaman lebih empat dekad dalam pembangunan hartanah di Malaysia, Singapura dan China.

 

Scroll to Top