IPU berubah-ubah, keputusan tutup sekolah perlu ikut keadaan semasa – Fadhlina

IPU berubah-ubah, keputusan tutup sekolah perlu ikut keadaan semasa – Fadhlina

Keputusan penutupan sekolah akibat jerebu perlu mengambil kira bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mengikut masa dan lokasi bagi memastikan keselamatan murid terus menjadi keutamaan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, keadaan kualiti udara boleh berubah dari semasa ke semasa, sekali gus memerlukan keputusan penutupan sekolah dibuat berdasarkan situasi semasa di kawasan terlibat.

“Dalam membuat keputusan ini, kita perlu memahami bahawa bacaan IPU boleh berubah mengikut masa dan lokasi. Justeru, penutupan sekolah perlu mengambil kira keadaan semasa di setiap kawasan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Foto arkib: FB Fadhlina Sidek

Beliau berkata, pihaknya memahami keresahan ibu bapa yang terpaksa membuat persediaan apabila keputusan penutupan sekolah diumumkan dari hari ke hari, termasuk mereka yang mencadangkan supaya sekolah ditutup terus untuk beberapa hari.

Sehubungan itu, Fadhlina berkata, beliau telah meminta supaya keputusan berhubung penutupan sekolah dimaklumkan seawal mungkin bagi memberi ruang kepada ibu bapa merancang urusan keluarga.

“Saya memahami keresahan ini. Sebab itu, saya telah meminta supaya keputusan penutupan sekolah dimaklumkan seawal mungkin bagi memberi ruang kepada ibu bapa membuat persediaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengurusan jerebu turut membabitkan kerjasama beberapa agensi mengikut bidang tanggungjawab masing-masing.

Menurutnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) berperanan memantau kualiti udara dan menangani isu pencemaran, manakala Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan panduan berkaitan risiko kesihatan kepada masyarakat.

Foto arkib: FB Fadhlina Sidek

Jelasnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pula memberi tumpuan kepada keselamatan murid dan pengurusan operasi sekolah berdasarkan keadaan semasa.

Fadhlina turut mengingatkan bahawa gangguan persekolahan boleh memberi kesan kepada pembelajaran murid, seperti yang dapat dilihat ketika pandemik COVID-19.

Beliau berkata, usaha menangani keciciran pembelajaran masih diteruskan sehingga kini, manakala kehilangan masa pembelajaran bukan mudah untuk diganti, terutama apabila kemudahan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak sama bagi setiap murid.

“Pengalaman COVID-19 juga mengajar kita betapa besarnya kesan gangguan persekolahan terhadap pembelajaran anak-anak. Sehingga hari ini, usaha menangani keciciran pembelajaran masih diteruskan.
“Masa pembelajaran yang hilang bukan mudah untuk diganti, apatah lagi kemudahan PdPR tidak sama bagi setiap murid,” jelas beliau.

Bagi murid yang tinggal di asrama pula, Fadhlina berkata, mereka disarankan untuk terus berada di asrama sepanjang penutupan sekolah akibat jerebu, selagi keadaan selamat dan kebajikan mereka terjamin.

Foto arkib: FB Fadhlina Sidek

Langkah itu bertujuan mengelakkan ibu bapa terbeban dengan urusan mengambil dan menghantar anak berulang kali sepanjang tempoh penutupan sekolah.

“Kita tidak mahu ibu bapa terbeban dengan urusan mengambil dan menghantar anak berulang kali,” katanya.

Beliau berkata, KPM akan terus memantau keadaan melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), selain menambah baik penyampaian maklumat kepada ibu bapa sepanjang situasi jerebu.

Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa atas pandangan dan kesabaran mereka dalam menghadapi keadaan itu.

Sumber: Facebook Fadhlina Sidek

Scroll to Top