nurul_husna@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang berada pada paras sederhana di sekitar kawasan Lembah Klang membolehkan orang ramai menyertai pelbagai acara dan festival utama yang berlangsung hari ini.
Tinjauan mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang menyertai perhimpunan riadah dan aktiviti sosial yang sudah lama dirancang seperti acara larian, pesta makanan dan pameran jualan.
Data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) pada 5 petang menunjukkan beberapa stesen pengawasan di Lembah Klang merekodkan bacaan IPU sederhana.
Antaranya termasuk Batu Muda dan Cheras di Kuala Lumpur yang mencatatkan bacaan 81, manakala Shah Alam, Selangor turut berada pada paras 81. Putrajaya pula merekodkan bacaan IPU 80.
Meskipun keadaan jerebu nipis menyelubungi sebahagian ruang udara, kehangatan penganjuran acara bertaraf antarabangsa dan tempatan tidak terjejas.
Di Sepang, pembukaan saingan sukan permotoran berprestij Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang menyaksikan puluhan ribu peminat tempatan dan luar negara memenuhi pekarangan serta tempat duduk penonton sejak semalam, dengan kehadiran yang berterusan sehingga hari ini.
Tidak jauh dari lokasi berkenaan, peminat makanan tempatan turut mengunjungi Selangor Mega Food Festival 2026 yang berlangsung di Mitsui Outlet Park KLIA Sepang.
Festival itu menampilkan lebih 60 vendor menawarkan pelbagai variasi sajian popular dan menjadi tumpuan pengunjung dari segenap lapisan masyarakat.
Kemeriahan serupa turut kelihatan di Jom Makan Food Fest yang bertempat di pekarangan Masjid Seksyen 7, Shah Alam apabila orang ramai cuba tidak melepaskan peluang mengunjungi gerai jualan, aktiviti interaktif, dan cabutan bertuah.
Sementara itu, penganjuran acara sukan larian terbesar tanah air, Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026 dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta penaja utama Standard Chartered Malaysia tetap meneruskan saingan bagi kategori utama.
Menerusi kenyataan rasmi penganjur, kategori Full Marathon, ASICS Half Marathon, 10km, dan 5km diteruskan mengikut jadual asal.
Namun, atas faktor keselamatan serta mengutamakan kesihatan golongan rentan, penganjur mengambil langkah drastik membatalkan acara Kids Dash membabitkan kanak-kanak.
Penganjur turut mengingatkan peserta menilai keupayaan kesihatan kendiri sebelum mengambil keputusan untuk menyertai acara larian berkenaan.
Kesedaran tinggi mengenai kualiti udara turut menyaksikan maklum balas proaktif dalam kalangan peserta.
© New Straits Times Press (M) Bhd




