iQiyi umum usaha sama dengan Media Prima, Celcom

KUALA LUMPUR: Penyedia khidmat penstriman hiburan inovatif dalam talian, iQIYI International (iQIYI) mengukuhkan kedudukannya di Malaysia melalui kerjasama strategik dengan dua syarikat ternama – syarikat penciptaan kandungan media dan hiburan terulung, Media Prima, dan Celcom Axiata Berhad (Celcom) iaitu syarikat telekomunikasi terbesar negara. 

Melalui pencapaian memberangsangkan pada akhir tahun 2020 dengan mencatat jumlah pengguna lebih 15 kali ganda, iQiyi mempertingkatkan lagi komitmen untuk melabur dalam ekosistem hiburan tempatan di Malaysia menerusi kerjasama dengan Primeworks Studio.

Pengurus iQiyi International Malaysia, Singapura dan Brunei, Dinesh Ratnam, berkata syarikat itu agak baharu dalam bidang penstriman di Malaysia, namun  memiliki impian besar.

“Kami bukan sahaja ingin menambah jumlah pengguna, tetapi turut berhasrat  menambah baik katalog tontonan terbaik sekali gus menawarkan hiburan yang terbaik dari Asia. 

“Kami juga adalah platform  penstriman yang pesat berkembang di Malaysia sejak lebih 12 bulan lalu,” katanya.

Beliau berkata, iQiyi kini berazam untuk menjadi pemacu utama ekosistem hiburan tempatan dengan menjalin hubungan jangka panjang yang erat di antara pengguna serta rakan kongsi kami. 

“Kerjasama dengan Primeworks Studio dan Celcom adalah satu langkah strategik dan sinergi yang bakal membolehkan kami  memberikan hiburan mutlak terbaik,” katanya.

Perjanjian tahunan yang dimeterai bersama Primeworks Studio akan memberikan iQiyi keutamaan hak tayangan untuk drama tempatan popular terbitan TV3. 

Ini termasuklah drama popular utama yang akan boleh distrim di platform iQiyi pada hari sama ia ditayangkan di TV3.

Kesemua judul TV3 ini akan ditempatkan di satu ruangan khas di aplikasi iQiyi, yang juga boleh diakses melalui pautan www.iQ.com/local. 

Ruangan tontonan tempatan yang diberi nama ‘Local’ ini dijangka akan mengandungi lebih 1,000 jam senarai tontonan premium tempatan menjelang akhir tahun 2021.

Melalui kerjasama ini, jumlah penonton iQiyi bagi tontonan drama TV3 ini diperluaskan kepada pengguna di Singapura dan Brunei. 

Pengguna akan dapat menonton rancangan istimewa Ramadan dan Hari Raya seperti Sabarlah Duhai Hati dan Cukup Derita Itu, serta senarai tontonan popular yang  dinanti-nantikan iaitu sambungan drama, 7 Hari Mencintaiku 2 dan Budak Tebing.

Selain dari hak penyiaran, komitmen kerjasama di antara iQiyi dan Primeworks Studio ini juga akan memberikan kelebihan kepada pengguna yang inginkan akses “tontonan awal” untuk drama terbaharu bertajuk, Shah Alam 40000. 

Sementara itu, kerjasama iQiyi dengan Celcom terjalin apabila ia menjadi syarikat telekomunikasi rasmi untuk rancangan variasi terulung terbitan iQiyi iaitu Youth With You 3 (YWY3). 

Rancangan variasi hit dari China ini telah mempunyai jumlah penonton yang tinggi di Malaysia dengan  menampilkan produksi berkualiti tinggi, pengalaman tontonan interaktif, serta dibarisi  juri ternama seperti Lisa dari kumpulan BLACKPINK, Li Ronghao dan Will Pan. 

iQiyi diiktiraf sebagai aplikasi penstriman over-the-top (OTT) yang paling banyak dimuat turun melalui Apple App Store dan Google Play Store, di antara bulan Ogos 2020 dan Februari 2021.

Ketua Pegawai Kreatif dan Kandungan Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios,  Nini Yusof,  berkata sebagai sebuah syarikat media berintegrasi bersama syarikat pengedar dan penciptaan kandungan terbesar negara,  Primeworks Studios percaya usaha sama dengan iQiyi adalah selaras dengan strategi syarikat itu untuk memperkembangkan capaian digital kepada lebih banyak pengguna premium. Bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara.

Ketua Pegawai Perniagaan Celcom Axiata Berhad,  T Kugan K Thirunavakarasu, pula berkata, permintaan untuk kandungan video dan hiburan terus meningkat dengan pantas meliputi lebih 13 juta pengguna melalui rangkaian Celcom paling luas (pada tahun 2020). 

“Kami sedar bahawa pelanggan mahukan produk dan hiburan yang mempunyai nilai tambah, selaras dengan gaya hidup masa kini. 

“Bagi memenuhi keperluan ini, kami akan merumuskan pakej eksklusif yang direka khusus dengan senarai tontonan tempatan, Korea dan antarabangsa untuk dinikmati pengguna sama ada di rumah, atau di mana-mana sahaja. 

“Kami percaya usaha sama strategik kami dengan iQiyi akan mengukuhkan kedudukan Celcom dalam arena telekomunikasi,” tambahnya lagi.

Data menunjukkan trend penggunaan platform penstriman yang amat memberangsangkan. 

Melalui penyelidikan yang dijalankan oleh syarikat Nielsen, jumlah pendaftaran pengguna baru OTT atau platform penstriman adalah sekitar satu juta pengguna baharu untuk tahun lalu kepada jumlah 14.1 juta pengguna. 

iQiyi pula mencatatkan 68 juta jumlah jam tontonan di platformnya, hanya pada 2020 sahaja.

Dalam satu kaji selidik bebas mendapati, pengguna sanggup menonton iklan untuk bayaran langganan rendah atau tontonan percuma.

Melalui trend ini, iQiyi bertindak untuk membuat pelaburan untuk solusi pemasaran digital. 

Berazam  menjadi destinasi pilihan untuk jenama atau syarikat yang ingin memperkembangkan perniagaan mereka, iQiyi juga melantik Media Prima Omnia sebagai rakan pemasaran bukan eksklusif di Malaysia. 

Dengan rangkaian jualan Media Prima Omnia yang meluas, ini akan membolehkan iQiyi menyediakan pakej khas dan bersesuaian untuk pengiklanan di platform iQiyi atau di saluran TV Media Prima.

© New Straits Times Press (M) Bhd