Iqwan nafi 'ghaib', dakwa telefon disekat

Iqwan nafi 'ghaib', dakwa telefon disekat

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Bangi: Suami penyanyi Zehra Zambri, 38, iaitu Nur Mohd Iqwan Samsudin, 42, menepis dakwaan dibuat isterinya yang memberitahu dia ‘ghaib’ sejak sebulan lalu dan sukar dihubungi untuk berbincang urusan anak.

Iqwan berkata, dia tidak pergi ke mana-mana pun melainkan bekerja dan kemudian balik ke rumah dan Zehra juga tahu alamat kediamannya sekarang.

“Saya tak pergi ke mana-mana pun dan saya ambil berat sahaja mengenai anak kami. Cuma, sukar untuk berhubung dengan Zehra sejak kebelakangan ini kerana dia menyekat nombor telefon saya.

“Selain itu, saya juga agak sibuk dengan kerja. Tapi, tiada masalah kalau nak tanya khabar dan jumpa anak. Insya Allah selepas selesai urusan cerai nanti, akan ada proses hadanah (hak penjagaan anak) dan sebagainya, lagi senanglah.

“Bagaimanapun, saya juga berharap Zehra mungkin boleh ‘unblock’ (tidak sekat) saya untuk bercakap dengan anak selepas ini nanti,” katanya kepada Harian Metro ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat di sini selepas Majlis Tahkim, hari ini.

Menurut Iqwan lagi, sebagai bapa sudah pasti dia sebenarnya sangat merindukan anaknya, Zahiyah Iqleela, 3, apabila sudah sebulan mereka tidak bertemu.

“Bagaimanapun, semoga Allah mudahkan untuk saya uruskan keperluan anak nanti. Saya sangat merindukannya. Apa lagi, sudah sebulan kami tidak berjumpa.

“Memang ada juga saya nak ‘video call’ untuk bercakap dengan anak, tetapi saya tak jumpa jalan dan laluannya sebab nombor telefon saya sudah disekat,” katanya.

Sebelum ini, Zehra mendakwa suaminya gagal memberikan nafkah sepanjang hampir empat tahun perkahwinan mereka, termasuk tanggungjawab kewangan terhadap anak digalas penuh oleh dirinya.

Pada 14 Julai lalu, Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat di sini menetapkan urusan perceraian antara Zehra dan Iqwan akan dibuat menerusi lantikan hakam oleh mahkamah.

Zehra terdahulu memfailkan permohonan cerai terhadap Iqwan pada 7 Mac lalu dengan lima tuntutan dibuat terhadap lelaki itu, antaranya dakwaan berkaitan nafkah dan berlaku keganasan dalam rumah tangga.

Bagaimanapun, Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat menetapkan hari ini sebagai tarikh perbicaraan perceraian mereka yang akan dilakukan secara hakam daripada lantikan mahkamah.

Sebelum ini, hasil daripada pembentangan keputusan Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) kepada pihak mahkamah juga mendapati ada berlakunya Syiqaq iaitu tiada persefahaman yang berpanjangan antara Zehra selaku plaintif dan Iqwan (defendan).

Zehra dan Iqwan mendirikan rumah tangga pada 10 November 2021. Hasil perkahwinan berkenaan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top