IRAMA bantu kutip dana RM200,000

IRAMA bantu kutip dana RM200,000

bhhip@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Tabung Al Quds Emergency Aid yang diusahakan Syria Care bersama 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) mengutip dana hampir RM200,000 dalam tempoh tiga hari dibuka.

Sumbangan bertujuan membantu penduduk Palestin di Wilayah Gaza yang berdepan serangan rejim Zionis Israel sehingga banyak nyawa terkorban dengan rumah serta bangunan musnah sejak minggu akhir Ramadan lalu.

Presiden IRAMA, Ayob Abd Majid, berkata terpanggil menerbitkan segmen khas dikenali Irama Untuk Palestin yang disiarkan melalui FaceBook (FB) konsortium berkenaan sejak insiden berdarah menimpa rakyat Palestin.

Ayob berkata, tidak bersendirian dalam usaha itu, IRAMA menjalinkan kerjasama dengan badan yang membantu penduduk Syria dan Palestin, Syria Care.

“Peranan dimainkan IRAMA menerusi segmen Irama Untuk Palestin yang menemui penonton jam 10 malam selama sejam, sejak enam hari lalu.

“Kutipan berjaya dikumpul menerusi tabung Al Quds Emergency Aid bukan daripada IRAMA, sebaliknya melalui kerjasama 40 pertubuhan lain.

“Tidak sangka dana diperoleh mencecah RM200,000 dalam tempoh tidak sampai tiga hari. Kutipan mula dibuat Ahad lalu hingga 23 Mei ini. Kami menyasarkan kutipan RM250,000 sebelum tabung ditutup.

“Semua kutipan diuruskan Syria Care yang berpengalaman dengan kerja amal,” katanya kepada BH Online.

Ayob berkata, bantuan yang mampu diberi adalah melalui pengendalian program Irama Untuk Palestin dikendalikan IRAMA TV menerusi laman sosial.

“Kami mengundang barisan artis membuat persembahan untuk ditujukan kepada rakyat Palestin. IRAMA mengambil kesempatan memaparkan nombor akaun tabung bantuan.

“Alhamdulillah, ia salah satu usaha yang berkesan,” katanya.

Program secara langsung itu dikendalikan Ayob bersama penyanyi Royce Saayan. Antara jemputan artis termasuk Datuk Nash, Bagio dan ramai lagi.

Ayob berkata, usaha itu lebih bermakna apabila program mendapat perhatian Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.

Katanya, pihaknya dihubungi wakil duta berkenaan selepas menonton program berkenaan.

“Kami sangat terkejut apabila dihubungi wakil duta Palestin. Beliau menonton program Irama Untuk Palestin dan bertanya kenapa IRAMA TV tidak mengundang wakil Palestin bercakap mengenai isu serangan ini.

“Jadi, kami memberi peluang kepada Walid untuk muncul pada program Irama Untuk Palestin yang dibuat secara virtual menggunakan aplikasi Zoom, kelmarin.

“Kami tidak menyangka berikutan program Irama Untuk Palestin lebih tertumpu ke arah hiburan. Namun, IRAMA tetap berbesar hati apabila beliau menawarkan diri muncul pada program itu dan membincangkan isu sumbangan kepada rakyat Palestin,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top