Istanbul: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi memberi amaran pada Sabtu bahawa serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap kemudahan nuklear negara itu boleh mendedahkan seluruh rantau kepada pencemaran radioaktif, lapor Anadolu Ajansi. Beliau menyeru tindakan antarabangsa diambil dengan segera.
Menerusi surat kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, ahli Majlis Keselamatan, serta Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi, Araghchi memaklumkan serangan berterusan ke atas infrastruktur nuklear Iran membawa risiko serius terhadap manusia dan alam sekitar.
“Serangan haram ini mendedahkan seluruh rantau kepada bahaya pencemaran radioaktif yang boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan manusia serta alam sekitar, justeru ia tidak boleh diabaikan,” jelas beliau melalui surat yang dipetik agensi berita IRNA.
Araghchi berkata serangan berkenaan menyasarkan kemudahan di bawah kawalan antarabangsa, termasuk loji kuasa nuklear Bushehr yang menurut beliau dikhaskan hanya bagi tujuan keamanan dan beroperasi di bawah seliaan IAEA.
Beliau menuduh AS dan Israel berulang kali membedil infrastruktur nuklear Iran sejak beberapa bulan kebelakangan ini sambil mengkritik badan antarabangsa kerana gagal bertindak.
“Dalam tempoh kurang sembilan bulan, Amerika Syarikat dan Israel telah melancarkan dua peperangan agresif terhadap Republik Islam Iran,” katanya.
Araghchi menyifatkan ketiadaan kutukan daripada PBB dan IAEA telah memberi galakan bagi serangan seterusnya dilakukan. Beliau turut memberi amaran bahawa kenyataan pegawai AS yang membayangkan fasiliti nuklear boleh disasarkan, termasuk loji Bushehr, telah meningkatkan kebimbangan.
“Kini, pegawai tinggi AS yang menyifatkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa sebagai ‘kebodohan’, berani mengisytiharkan bahawa kemudahan nuklear adalah antara sasaran mereka. Misi Tetap AS ke PBB menyatakan secara terbuka bahawa serangan ke atas loji nuklear Bushehr tidak mustahil berlaku,” katanya.
Menteri itu menyenaraikan pelbagai serangan yang dilaporkan ke atas tapak berkaitan nuklear sejak akhir Februari, termasuk dua serangan berasingan terhadap kemudahan nuklear Natanz pada 1 Mac serta pengeboman tapak pemprosesan uranium Shahid Ahmadi Roshan pada 27 Mac. Beliau menegaskan serangan berulang berhampiran loji Bushehr yang sedang beroperasi sangat membimbangkan.
“Kedudukan serangan yang sangat dekat dengan kemudahan nuklear yang sedang beroperasi mewujudkan situasi yang tidak dapat diterima dan mendatangkan risiko serius kebocoran radioaktif,” katanya.
Awal hari ini, serangan AS dan Israel mengenai loji nuklear Bushehr sehingga mengorbankan seorang mangsa. Serangan itu berlaku ketika ketegangan serantau memuncak sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari, yang mengorbankan lebih 1,340 orang setakat ini termasuk Pemimpin Tertinggi ketika itu, Ali Khamenei.
Tehran telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, selain Jordan, Iraq, serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS.
© New Straits Times Press (M) Bhd




