KAHERAH – Seorang pegawai kanan Pengawal Revolusi Iran menegaskan, Selat Hormuz kini ditutup dan Iran akan melepaskan tembakan ke arah mana-mana kapal yang cuba melaluinya, lapor media Iran pada Isnin.
Ini merupakan amaran paling tegas Iran sejak memaklumkan penutupan laluan eksport tersebut pada Sabtu, satu langkah yang berpotensi menyekat 20 peratus aliran minyak dunia dan menyebabkan harga minyak melambung.
“Selat Hormuz ditutup. Jika sesiapa cuba melintas, wira Pengawal Revolusi dan tentera laut biasa akan membakar kapal-kapal tersebut,” kata Ebrahim Jabari, penasihat kanan kepada ketua Pengawal Revolusi, seperti dipetik oleh media kerajaan.
Selat itu merupakan laluan eksport minyak paling penting di dunia, yang menghubungkan pengeluar minyak utama Teluk – termasuk Arab Saudi, Iran, Iraq dan Emiriah Arab Bersatu – dengan Teluk Oman dan Laut Arab.
Penutupan itu tercetus selepas serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari lalu yang bertujuan menggulingkan kepimpinannya, dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menawarkan bantuan kepada rakyat Iran untuk menyingkirkan pemerintah ulama negara itu.
Sebagai tindak balas, Iran melepaskan beberapa serangan peluru berpandu ke atas negara jiran di Teluk yang menempatkan pangkalan tentera AS seperti Qatar, Kuwait dan Bahrain.
Teheran turut menembak peluru berpandu ke Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Oman.
Dengan penutupan ini, Teheran menunaikan ancaman bertahun-tahun untuk menyekat laluan sempit itu sebagai balasan terhadap sebarang serangan ke atas Republik Islam itu.
Sekitar 20 peratus penggunaan minyak dunia sehari melalui Selat Hormuz, yang hanya sekitar 33km pada titik tersempitnya.
Pasaran minyak memberi tumpuan kepada ketegangan antara Teheran dan seteru lamanya, AS dan Israel, bimbang konflik besar-besaran boleh mengganggu bekalan serta menggugat kestabilan serantau.
Langkah ini juga hadir selepas sektor perkapalan global sedia mengalami gangguan akibat serangan dron dan peluru berpandu oleh kumpulan Houthi Yemen yang disokong Iran.
Kumpulan itu menyasarkan kapal-kapal di Laut Merah dan Teluk Aden sejak perang Gaza meletus pada 2023.
Sekitar seperlima penggunaan minyak global melalui Selat Hormuz setiap hari. – Awani
Ringkasan AI
- Selat Hormuz kini ditutup oleh Iran yang mengancam akan melepaskan tembakan ke arah kapal yang melintas
- Ini menyebabkan potensi penyekatan 20 peratus aliran minyak dunia dan kenaikan harga minyak
- Penutupan diikuti serangan Amerika Syarikat dan Israel bertujuan menggulingkan kepimpinan Iran
- Iran balas dengan serangan peluru berpandu ke atas negara jiran dan penyekatan Selat Hormuz adalah langkah balas atas serangan tersebut
- Selat Hormuz adalah laluan eksport minyak utama dunia, dengan sekitar 20 peratus penggunaan minyak global melaluinya setiap hari



