Iran berikrar ‘tutup sepenuhnya’ Selat Hormuz jika loji tenaga diserang

Iran berikrar ‘tutup sepenuhnya’ Selat Hormuz jika loji tenaga diserang

TEHERAN – Iran memberi amaran keras bahawa negara itu akan menutup sepenuhnya Selat Hormuz sekiranya Amerika Syarikat (AS) meneruskan ancaman untuk menyerang loji tenaga Iran, ketika konflik AS–Israel dengan Teheran memasuki minggu keempat dan ketegangan serantau terus meningkat.

Menurut kenyataan yang disiarkan di televisyen negara Iran, Komando Operasi Khatam al-Anbiya di bawah Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) berkata Selat Hormuz “tidak akan dibuka semula sehingga loji tenaga yang dimusnahkan dibina semula sekiranya AS melaksanakan ancamannya”.

Presiden AS Donald Trump pada Sabtu memberi Teheran tempoh 48 jam untuk membuka semula Selat Hormuz sepenuhnya, sambil mengancam untuk “menghapuskan” loji-loji tenaga Iran, bermula dengan yang terbesar.

Tuntutan terakhir itu dilihat sebagai peningkatan besar konflik, hanya sehari selepas beliau menyatakan sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan operasi ketenteraan.

Iran membalas dengan memberi amaran bahawa ia akan menyerang kemudahan tenaga, penyahgaraman serta infrastruktur strategik yang berkaitan dengan AS di seluruh Teluk, termasuk kemudahan di negara yang menempatkan pangkalan tentera AS.

Speaker Parlimen Iran, Mohammad Baqer Qalibaf, turut menegaskan bahawa infrastruktur tenaga di seluruh rantau “akan musnah secara tidak boleh dipulihkan” jika Iran diserang.

Selat Hormuz, laluan perkapalan yang membawa sehingga 20 peratus bekalan minyak global, telah hampir lumpuh sejak perang bermula pada 28 Februari, dengan hanya kira-kira 5 peratus daripada trafik biasa masih mampu melaluinya akibat serangan dan ancaman peluru berpandu Iran.

Penguncupan laluan ini telah mengakibatkan lonjakan harga minyak global, meningkatkan tekanan politik terhadap Trump dan sekutu Baratnya.

Pakar keselamatan memberi amaran bahawa penutupan sepenuhnya Selat Hormuz akan memberi kesan besar kepada rantaian bekalan tenaga dunia.

Krisis semakin meruncing selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Arad dan Dimona di selatan Israel, kawasan berhampiran fasiliti nuklear, mengakibatkan lebih 180 orang cedera.

Israel kemudian melancarkan serangan balas ke atas sasaran “rejim” Iran di Tehran.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menegaskan bahawa Israel dan AS “sedang mencapai matlamat perang”, termasuk melemahkan program nuklear dan peluru berpandu Iran serta menyasarkan komander IRGC.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa serangan berhampiran kemudahan nuklear di Iran dan Israel telah membawa perang ke peringkat “amat berbahaya” dan menggesa semua pihak menunjukkan tahap kawalan ketenteraan maksimum bagi mengelakkan bencana nuklear.

Dengan Iran, AS dan Israel meningkatkan ancaman terhadap infrastruktur kritikal, daripada loji tenaga hingga kemudahan air dan teknologi, penganalisis memberi amaran bahawa satu perang infrastruktur serantau semakin tidak dapat dielakkan, sesuatu yang boleh melumpuhkan ekonomi seluruh Asia Barat. – Awani 

Ringkasan AI

  • Iran mengancam akan menutup sepenuhnya Selat Hormuz jika AS menyerang loji tenaga Iran
  • Selat Hormuz adalah laluan penting yang membawa sehingga 20 peratus bekalan minyak global
  • Trump memberi Iran tempoh 48 jam untuk membuka semula Selat Hormuz sepenuhnya
  • Iran membalas dengan memberi amaran akan menyerang infrastruktur strategik AS di Teluk
  • Krisis ini telah menyebabkan lonjakan harga minyak global dan meningkatkan tekanan politik terhadap Trump
Scroll to Top