Tehran: Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran menegaskan pada Ahad bahawa mereka tidak akan membuka semula Selat Hormuz selagi Amerika Syarikat (AS) tidak memenuhi senarai tuntutan Tehran termasuk membayar ganti rugi kerosakan perang.
Sekatan dilaksanakan Iran ke atas laluan tenaga penting itu menggugat sekutu, menggoncang pasaran dan melonjakkan harga bahan api. Namun, Presiden AS Donald Trump pada Ahad berkata, beliau mengambil pendekatan tenang terhadap Tehran sambil membayangkan keyakinan bahawa tekanan ekonomi akhirnya akan memaksa Iran beralah.
Tehran bertegas mahu mengekalkan kawalan ke atas Selat Hormuz selepas perang selain bercadang mengenakan bayaran tol kepada kapal yang melalui laluan itu. Iran juga dilaporkan berulang kali menyerang kapal yang didakwa cuba mengelak daripada menggunakan laluan ditetapkannya.
Serangan di laluan air itu yang sebelum perang, bebas dilalui kapal-kapal antarabangsa menyebabkan gencatan senjata yang dicapai pada April lalu gagal dipertahankan. Perantara antarabangsa menggesa kedua-dua pihak kembali mematuhi memorandum yang dipersetujui pada Jun lalu sebagai asas kepada rundingan damai.
Majlis Keselamatan Kebangsaan Tertinggi Iran pada Sabtu lalu mengemukakan beberapa syarat untuk membuka semula Selat Hormuz termasuk penamatan perang di semua barisan hadapan, penarikan balik sekatan balas AS terhadap pelabuhan Iran, penghapusan sekatan ekonomi, pelepasan aset Iran yang dibekukan serta pembayaran pampasan bagi kerosakan akibat perang, kata agensi berita Tasnim.
Syarat-syarat itu mencerminkan terma memorandum Jun yang turut memperuntukkan penubuhan dana pembinaan semula bernilai AS$300 bilion (kira-kira RM1.32 trilion) untuk Iran.
IRGC pada Ahad menegaskan strategi mereka adalah untuk terus mengekalkan sekatan itu “sehingga musuh menerima semua syarat kami. Selat Hormuz kini menjadi medan perang bagi kami, bukan lagi sekadar laluan perkapalan,” katanya.
Penutupan Selat Hormuz meningkatkan harga tenaga sekali gus menambah beban kepada pengguna di AS dan mewujudkan cabaran politik kepada Trump menjelang pilihan raya separuh penggal pada November ini. Bagaimanapun, beliau tetap optimis ketika ditemu bual oleh Axios pada Ahad.
“Kami mengambil pendekatan tenang,” kata Trump mengenai pendiriannya dalam satu wawancara. “Kami hanya separuh berunding dengan mereka,” katanya sambil menambah bahawa AS hanya memerhatikan keadaan Iran yang berdepan kadar inflasi tinggi dan kekurangan dana. Ia akan selesai. Ini seperti permainan catur,” katanya.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi pada awal Ahad berkata, Tehran hanya “bertukar mesej” dengan AS melalui orang tengah.
Sementara itu, jumlah kapal yang melalui Selat Hormuz merosot dengan ketara susulan serangan yang berterusan dengan sekurang-kurangnya sebuah kapal tangki diserang pada Sabtu lalu, menurut Emiriah Arab Bersatu (UAE). Kementerian Luar Oman mengecam serangan berulang itu tanpa menamakan Iran secara khusus.
Perang di Asia Barat terus mencabar kestabilan dan keselamatan Arab Saudi serta usaha negara itu mempelbagaikan ekonomi daripada kebergantungan terhadap petroleum.
Jumaat lalu, Arab Saudi menandatangani perjanjian pertahanan bersama Turki dan Pakistan yang menganggap serangan terhadap satu negara sebagai serangan terhadap semua, manakala Turkiye menjangkakan Mesir turut menyertai pakatan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd


