Iran bina semula sistem senjata selepas dimusnahkan AS-Israel

TEHERAN: Tentera Iran pada Rabu berkata bahawa semua sistem persenjataan yang mengalami kerosakan setakat ini dalam perang di Asia Barat telah dibina semula, manakala sistem baharu turut diimport ke negara itu.

“Sistem dalam semua cabang ketenteraan, termasuk yang mengalami kerosakan, telah dibina semula dan sistem baharu juga telah diimport,” kata jurucakap tentera, Mohammad Akraminia, menurut televisyen kerajaan.

“Sistem baharu diperoleh melalui  industri pertahanan dan tentera, manakala sebahagiannya turut diimport dari luar negara. Peralatan ini telah meningkatkan keupayaan tempur kami,” tambahnya.

Amerika Syarikat (AS) dan Israel memulakan perang di Asia Barat dengan gelombang besar serangan terhadap Iran pada 28 Februari, yang mencetuskan tindak balas Iran di seluruh rantau berkenaan.

Gencatan senjata pada 8 April menamatkan hampir 40 hari pengeboman sengit.

Namun, serangan yang tidak berterusan, kebanyakannya berhampiran Selat Hormuz yang strategik, telah menjejaskan prospek untuk mencapai perjanjian damai sepenuhnya.

“Kami mengambil langkah serius dalam usaha membina semula dan menempatkan semula sistem yang telah rosak akibat serangan musuh,” kata jurucakap tentera itu selain menambah bahawa negara berkenaan kini telah mengubah doktrin ketenteraannya daripada pertahanan kepada serangan. – AFP

Scroll to Top