ISTANBUL – Serangan udara Amerika Syarikat (AS)-Israel telah merosakkan 114 tapak kebudayaan dan bersejarah di seluruh Iran, menurut Kementerian Warisan Kebudayaan, Pelancongan dan Kraftangan pada Selasa.
“Berdasarkan penilaian lapangan dan laporan pakar terkini, setakat ini 114 tapak kebudayaan dan bersejarah termasuk tapak Warisan Dunia, tapak berdaftar kebangsaan serta lokasi bersejarah yang berharga telah mengalami kerosakan,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, lapor Anadolu Ajansi.
Antara yang terjejas termasuk 48 muzium dan enam kawasan bandar bersejarah di Teheran, Isfahan, Sanandaj, Kermanshah, Qom, dan Khansar.
Menurut kenyataan itu, kerosakan meliputi kawasan geografi yang luas dengan Teheran melaporkan 60 kes, manakala Isfahan merekodkan 20 kes, selain wilayah lain termasuk Lorestan, Kermanshah, Bushehr, Qom, Alborz, Azerbaijan Timur dan Barat, Mazandaran, Sistan dan Baluchestan, Gilan, Ilam, Khuzestan, serta Fars.
“Mengikut prinsip undang-undang antarabangsa yang telah ditetapkan, terutamanya Konvensyen The Hague 1954, sebarang tindakan ketenteraan yang mengakibatkan kemusnahan atau kerosakan kepada warisan budaya adalah pelanggaran nyata terhadap obligasi antarabangsa dan ancaman langsung kepada memori sejarah manusia,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu turut menggesa organisasi antarabangsa, terutamanya UNESCO (Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu), agar tidak hanya mengambil pendirian minimum sebaliknya memainkan peranan yang lebih aktif, berkesan dan tegas dalam melindungi warisan budaya yang terancam.
Sebanyak sembilan surat rasmi telah dihantar melalui saluran diplomatik kepada badan antarabangsa termasuk UNESCO, Perikatan Warisan Budaya Asia, Majlis Muzium Antarabangsa, Majlis Monumen dan Tapak Antarabangsa, serta Pertubuhan Pelancongan Sedunia berhubung serangan ke atas tapak kebudayaan berkenaan.
“Warisan budaya Iran adalah amanah dari masa lepas untuk masa depan, dan melindunginya adalah satu kewajipan nasional dan kemanusiaan,” katanya.
Ketegangan serantau terus memuncak sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari, yang setakat ini telah mengorbankan lebih 1,340 orang termasuk Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei.
Teheran telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, selain Jordan, Iraq, dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS, sehingga mengakibatkan kecederaan dan kerosakan infrastruktur serta mengganggu pasaran global dan sektor penerbangan. – Bernama-Anadolu
Ringkasan AI
- Serangan udara Amerika Syarikat-Israel telah merosakkan 114 tapak kebudayaan dan bersejarah di Iran
- Antara yang terjejas termasuk 48 muzium dan enam kawasan bandar bersejarah
- Kerosakan meliputi kawasan geografi yang luas termasuk Tehran dan Isfahan
- Serangan tersebut merupakan pelanggaran terhadap Konvensyen The Hague 1954 tentang perlindungan warisan budaya
- Kementerian Warisan Kebudayaan, Pelancongan dan Kraftangan Iran menggesa UNESCO untuk beraksi lebih aktif dalam melindungi warisan budaya yang terancam



