TEHERAN – Speaker Parlimen Iran, Mohammad-Baqer Qalibaf, menegaskan Amerika Syarikat (AS) dan Israel kini dilihat sama dari segi kesalahan mereka terhadap negara Iran.
Beliau berkata demikian dalam hantaran di platform X, menyifatkan Presiden AS Donald Trump telah ‘terpedaya’ oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, untuk memulakan perang dan kini bertindak di bawah kawalan pihak Israel.
Mohammad-Baqer menegaskan bahawa bagi Iran, tiada lagi bezanya antara AS dan rejim Zionis dalam tindakan mereka terhadap rakyat Iran.
“Perang akan diteruskan sehingga musuh diubah pengiraannya dan didorong untuk menyesal,” katanya.
Kenyataan itu dibuat ketika Iran melancarkan gelombang serangan balas yang berterusan dan terancang melalui Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) terhadap sasaran AS dan Israel di seluruh rantau.
Operasi balas itu dinamakan Operasi Janji Benar 4, dilancarkan sejurus selepas gabungan AS-Israel memulakan serangan terhadap Republik Islam pada hujung bulan lalu.
Sehingga kini, IRGC telah menembak ratusan peluru berpandu balistik, hipersonik dan dron serangan ke arah sasaran strategik musuh.
Gelombang ke-47 operasi itu menyaksikan sasaran di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Gurun Negev, Nevatim yang menempatkan salah satu pangkalan udara terbesar Israel – bandar Be’er Sheva, pusat teknologi rejim Israel, dan bandar Lod.
Selain itu, pangkalan udara al-Udaid di Qatar yang dianggap paling penting oleh AS di Asia Barat turut menjadi sasaran serangan.
IRGC juga menyerang lokasi persembunyian kumpulan pengganas anti-Iran, Komala.
IRGC berikrar untuk mengekalkan operasi balas sehingga musuh mengalami ‘kekalahan sepenuhnya’.
Perkembangan tersebut menambah ketegangan yang berterusan di rantau, dengan kedua-dua pihak – Iran dan gabungan AS-Israel – masih berbalas serangan secara agresif sejak awal bulan lalu.- Agensi
Ringkasan AI
- Speaker Parlimen Iran menyatakan tidak ada bezanya antara AS dan Israel dalam tindakan mereka terhadap rakyat Iran
- Iran melancarkan Operasi Janji Benar 4 sebagai serangan balasan terhadap AS dan Israel
- Kor Pengawal Revolusi Islam menyerang sasaran strategik musuh menggunakan peluru berpandu balistik, hipersonik dan dron
- Serangan itu menyasar wilayah di Palestin yang diduduki, termasuk pangkalan udara penting Israel dan pangkalan udara al-Udaid di Qatar
- IRGC berikrar untuk terus melancarkan operasi balas hingga musuh mengalami kekalahan sepenuhnya



