
Kenderaan yang rosak teruk selepas AS membedil Teheran dalam konflik tercetus baru-baru ini. – Agensi
ISTANBUL – Iran mendakwa Amerika Syarikat (AS) kini cuba mencapai matlamat peperangannya melalui pelan 15 perkara selepas gagal mencapainya menerusi tindakan ketenteraan.
Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Qalibaf berkata, AS secara terbuka menggesa rundingan, namun dalam masa sama didakwa merancang serangan darat terhadap negara itu.
Menurut beliau, rakyat Iran bersedia menghadapi sebarang operasi darat oleh tentera AS dan memberi amaran bahawa sebarang serangan akan menerima tindak balas “tegas”.
“Ketika ini, pelbagai kenyataan daripada pihak musuh mengenai rundingan kedengaran. Amerika menyuarakan kehendaknya dan menyenaraikan apa yang gagal dicapai dalam peperangan sebagai pelan 15 perkara untuk dicapai melalui diplomasi,” katanya menerusi Telegram pada Ahad.
Pada Rabu lalu, Iran menolak pelan 15 perkara yang dikemukakan AS bagi menamatkan konflik, sambil menegaskan sebarang gencatan senjata hanya akan berlaku mengikut syarat dan garis masa Teheran.
Televisyen negara itu, memetik seorang pegawai Iran, melaporkan bahawa negara tersebut mengemukakan lima syarat untuk menamatkan perang, termasuk menghentikan sepenuhnya “pencerobohan dan pembunuhan”.
Perkembangan itu berlaku di tengah laporan mengenai rancangan AS melancarkan serangan darat ke atas Iran, susulan penempatan ribuan tentera AS ke Asia Barat, sementara menunggu keputusan Presiden Donald Trump.
AS dan Israel dilaporkan terus melancarkan serangan udara ke atas Iran sejak 28 Februari lalu, mengorbankan lebih 1,340 orang termasuk Pemimpin Tertinggi ketika itu, Ali Khamenei.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke arah Israel serta beberapa negara lain termasuk Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, sekali gus menyebabkan kematian, kerosakan infrastruktur serta mengganggu pasaran global dan penerbangan. – Bernama
Ringkasan AI
- Iran mendakwa AS cuba mencapai matlamatnya melalui pelan 15 perkara selepas gagal dengan ketenteraan.
- AS didakwa merancang serangan darat walaupun menggesa rundingan.
- Iran bersedia menghadapi serangan darat AS dan memberi amaran balas tegas.
- Iran menolak pelan 15 perkara AS dan menetapkan syarat sendiri untuk gencatan senjata.
- AS dan Israel melancarkan serangan udara sejak Februari, Iran membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu.



