Iran dakwa serangan peluru berpandu AS di dewan sukan bunuh 21 orang awam

Iran dakwa serangan peluru berpandu AS di dewan sukan bunuh 21 orang awam
Iran dakwa serangan peluru berpandu AS di dewan sukan bunuh 21 orang awam

Serangan menyasarkan sebuah kemudahan sukan di bandar Lamerd, wilayah Fars . – Agensi

ISTANBUL – Iran mendakwa serangan peluru berpandu oleh Amerika Syarikat ke atas sebuah dewan sukan di selatan negara itu mengorbankan 21 orang awam pada 28 Februari lalu, termasuk remaja.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata, serangan itu menyasarkan sebuah kemudahan sukan di bandar Lamerd, wilayah Fars.

Menurutnya, peluru berpandu baharu Amerika dikenali sebagai Precision Strike Missile (PrSM) itu meletup di udara sebelum melepaskan ribuan serpihan logam bagi memaksimumkan jumlah korban.

“Serangan itu mengorbankan 21 remaja lelaki dan perempuan yang tidak berdosa,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Beliau turut menuduh Amerika Syarikat sengaja menyasarkan orang awam dan menyifatkan tindakan itu sebagai “jenayah perang yang keji”.

Laporan turut menyebut bukti visual yang dianalisis oleh The New York Times bersama pakar senjata mendapati peluru berpandu tersebut mengenai sasaran awam termasuk dewan sukan dan sebuah sekolah rendah berhampiran kompleks ketenteraan di Lamerd.

Analisis video dan gambar di lokasi kejadian menunjukkan senjata digunakan adalah peluru berpandu balistik jarak dekat PrSM yang dibangunkan tentera Amerika Syarikat.

Sejak 28 Februari, Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran yang mengorbankan lebih 1,340 orang, termasuk Pemimpin Tertinggi ketika itu, Ali Khamenei.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas Israel serta beberapa negara lain yang menempatkan aset ketenteraan Amerika, sekali gus menyebabkan kematian, kerosakan infrastruktur dan gangguan kepada pasaran global serta sektor penerbangan.

Scroll to Top