Iran hancurkan radar pertahanan peluru berpandu AS bernilai RM1.1 bilion di Jordan

Iran hancurkan radar pertahanan peluru berpandu AS bernilai RM1.1 bilion di Jordan

AMMAN – Iran dilaporkan berjaya memusnahkan sistem radar AN/TPY-2 Sistem Pertahanan Antipeluru Berpandu Terminal Altitud Tinggi (THAAD) di Pangkalan Udara Muwaffaq Salti, Jordan pada hari-hari awal konflik, menurut laporan Bloomberg.

Penganalisis berkata, serangan itu mungkin merupakan salah satu kejayaan terbesar Iran setakat ini.

Imej satelit menunjukkan serangan Iran telah memusnahkan radar THAAD bernilai AS$300 juta (RM1.1 bilion), sistem yang penting dalam mengarahkan pertahanan peluru berpandu AS di Teluk, menurut seorang pegawai AS yang dipetik Bloomberg.

Timbalan Pengarah Pusat Kuasa Ketenteraan dan Politik di Yayasan Pertahanan Demokrasi (FDD), Ryan Brobst berkata, “Serangan Iran ke atas radar THAAD ini akan menjadi salah satu serangan paling berjaya Iran setakat ini.”

Beliau menambah bahawa tentera AS dan sekutunya masih mempunyai radar lain yang boleh terus menyediakan liputan pertahanan udara dan peluru berpandu, namun kehilangan radar tunggal seperti ini menimbulkan jurang taktikal yang besar.

Imej satelit komersial yang dipetik CNN menunjukkan peralatan sokongan dan radar AN/TPY-2 milik RTX Corp, digunakan oleh sistem THAAD AS, telah dimusnahkan di pangkalan udara Jordan itu pada awal peperangan. Kehilangan radar ini kemudian disahkan oleh pegawai AS.

Data FDD mencatat dua serangan Iran dilaporkan di Jordan, masing-masing pada 28 Februari dan 3 Mac.

Walaupun serangan awal dikatakan berjaya dipintas, kehilangan radar THAAD kini menandakan perubahan taktikal yang signifikan.

Unit THAAD AS bertugas memintas peluru berpandu di ketinggian atmosfera, menumpaskan ancaman yang lebih kompleks berbanding bateri Patriot.

Dengan radar AN/TPY-2 yang kini msunah, sistem pertahanan peluru berpandu akan bergantung kepada sistem Patriot, di mana misil PAC-3 sudah sedia terhad.

Sebelum ini, radar AN/FPS-132 di Qatar — pemasangan tetap berbeza daripada THAAD yang mudah alih turut mengalami kerosakan akibat serangan Iran.

Sistem bernilai AS$1.1 bilion (RM4.3 bilion) itu direka sebagai radar amaran awal untuk mengesan ancaman jarak jauh, namun tidak setepat untuk kawalan tembakan.

Gabungan kemusnahan radar di Jordan, kerosakan di Qatar, dan serangan dilaporkan ke atas terminal SATCOM di Bahrain menunjukkan usaha sistematik Iran untuk melumpuhkan sensor yang membentuk ‘mata’ payung pertahanan Teluk. – Agensi

Ringkasan AI

  • Iran berjaya memusnahkan sistem radar THAAD bernilai AS$300 juta di Jordan
  • Serangan tersebut dianggap sebagai salah satu kejayaan terbesar Iran
  • Kehilangan radar THAAD menimbulkan jurang taktikal besar bagi tentera AS dan sekutunya
  • Radar THAAD yang musnah penting dalam sistem pertahanan peluru berpandu AS di Teluk
  • Iran menunjukkan usaha sistematik untuk melumpuhkan sensor dan pertahanan di kawasan Teluk
Scroll to Top