Iran hanya guna 30 peratus kekuatan ketenteraannya setakat ini

Iran hanya guna 30 peratus kekuatan ketenteraannya setakat ini

TEHERAN – Seorang komander kanan Pengawal Revolusi Iran, Jeneral Mohsen Rezaei mendedahkan bahawa republik Islam itu hanya menggunakan 30 peratus kekuatan ketenteraannya ketika ini manakala hanya lima peratus daripada potensi keseluruhan telah dikerahkan dalam konflik yang sedang memuncak dengan Israel.

Menurut Rezaei, sebarang gencatan senjata ketika ini hanya akan menguntungkan Israel yang sedang lemah dan memberi masa kepada rejim Zionis untuk menyusun semula serangan.

Beliau menyifatkan langkah menghentikan pertempuran sebagai satu “kesilapan strategik”.

“Kami belum menggunakan semua senjata kami, belum menggunakan Selat Hormuz, kekuatan minyak, kuasa maritim, atau bantuan daripada sekutu dan rakan kami,” katanya dalam satu wawancara yang disiarkan secara langsung di televisyen Iran.

Tambah beliau, peningkatan ketenteraan Iran dilakukan secara perlahan dan berperingkat bagi membolehkan orang awam meninggalkan kawasan konflik.

Dalam kenyataan berasingan yang mengejutkan, Rezaei turut mendakwa bahawa Pakistan memberi jaminan akan bertindak balas dengan senjata nuklear sekiranya Israel menyerang Iran menggunakan bom atom.

“Pakistan memberi jaminan kepada kami bahawa jika Israel gunakan senjata nuklear ke atas Iran, mereka akan balas dengan menyerang Israel menggunakan senjata nuklear,” ujarnya.

Bagaimanapun, tiada pegawai rasmi Pakistan mengesahkan kenyataan tersebut setakat ini.

Terdahulu, pada 14 Jun, Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Asif, ketika berucap di Dewan Kebangsaan berkata, “Israel telah menyerang Iran, Yaman dan Palestin. Jika negara Islam tidak bersatu sekarang, semua akan menerima nasib yang sama.”

Beliau turut menggesa negara-negara majoriti Islam memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel dan menyeru Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) membentuk satu strategi bersama bagi menghadapi ancaman tersebut.

Pada 14 Jun lalu, Israel melancarkan satu serangan udara berskala besar ke atas Iran, menyasarkan infrastruktur ketenteraan dan nuklear. Iran kemudiannya membalas dengan peluru berpandu ke wilayah Israel.

Walaupun jumlah korban dan ketegangan serantau terus meningkat, Teheran memberi amaran konflik ini masih belum berada pada kemuncaknya dan tidak menolak kemungkinan operasi ketenteraan akan dipertingkatkan lagi dalam masa terdekat. – Agensi

Scroll to Top