TEHERAN – Iran berikrar akan melancarkan serangan menghancurkan terhadap musuh-musuhnya ketika konflik dengan Amerika Syarikat dan Israel terus memuncak tanpa tanda akan reda, lapor AFP.
Pertempuran yang berlarutan lebih sebulan itu menyaksikan kedua-dua pihak saling melancarkan serangan, termasuk menyasarkan infrastruktur awam dan industri di seluruh rantau Asia Barat.
Iran memaklumkan gelombang serangan terbaharunya menyasarkan lokasi di Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Israel sebagai tindak balas terhadap serangan terdahulu oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas kemudahan industrinya.
Menurut Teheran, sasaran termasuk industri keluli milik Amerika di Abu Dhabi, industri aluminium di Bahrain serta kilang senjata Israel.
Tentera Israel pula memaklumkan sistem pertahanan udaranya sedang beroperasi untuk memintas peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran, namun setakat ini tiada laporan segera mengenai korban atau kerosakan.

Polis Israel memeriksa sisa sebuah kenderaan yang musnah setelah terkena impak serangan peluru berpandu Iran di selatan Tel Aviv
Letupan turut dilaporkan berlaku di sekitar Teheran, dengan media tempatan menyatakan serangan udara Amerika Syarikat dan Israel telah mengenai sebuah jambatan di Karaj sebanyak dua kali, termasuk ketika pasukan kecemasan sedang menjalankan operasi menyelamat.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, terus mengeluarkan kenyataan tegas dengan mendakwa jambatan tersebut telah musnah dan memberi bayangan serangan lanjut akan dilakukan.
Dalam perkembangan lain, dua loji keluli terbesar Iran dilaporkan terpaksa menghentikan operasi susulan serangan berulang.
Sementara itu, kumpulan Huthi di Yemen, Ansarullah, memaklumkan telah melancarkan serangan keempat ke atas Israel dengan melepaskan peluru berpandu balistik ke arah Tel Aviv.
Di sebalik ketegangan, penduduk di Teheran masih meneruskan aktiviti sempena sambutan Tahun Baharu Parsi, Nowruz, walaupun kawalan keselamatan dipertingkatkan.

Pasukan penyelamat menilai tahap kerosakan selepas serangan peluru berpandu Iran di Petah Tikva, Israel.
Selat Hormuz jadi tumpuan
Konflik tersebut turut memberi tekanan besar kepada perdagangan global, khususnya di Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia dan kini dilaporkan hampir lumpuh.
Menteri Luar Britain,Yvette Cooper menggesa, pembukaan semula segera laluan itu, manakala beberapa negara lain memberi amaran risiko krisis makanan global jika gangguan berterusan.
Majlis Kerjasama Teluk (GCC) turut menyeru campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan keselamatan laluan perkapalan.
Bahrain pula mencadangkan resolusi Majlis Keselamatan PBB bagi membenarkan penggunaan kekuatan ketenteraan untuk menjamin kebebasan pelayaran, namun cadangan itu mencetuskan perbezaan pendapat dalam kalangan anggota.

Pasukan keselamatan Israel dan petugas kecemasan memeriksa lokasi serangan peluru berpandu Iran yang menimpa kawasan kediaman di Petah Tikva.
Kesan global semakin dirasai
Kesan konflik turut merebak ke peringkat global apabila harga minyak melonjak sehingga sekitar AS$110 (RM443.79 ) setong, manakala pasaran kewangan menunjukkan ketidaktentuan.
Bank Dunia memberi amaran peningkatan risiko inflasi, pengangguran dan keselamatan makanan di seluruh dunia.
Beberapa negara termasuk China mula menaikkan caj bahan api penerbangan, manakala Malaysia mengambil langkah penjimatan termasuk menggalakkan penjawat awam bekerja dari rumah.
Di Iraq, hasil minyak dilaporkan merosot lebih 70 peratus, manakala Pakistan menaikkan harga bahan api secara mendadak susulan kejutan tenaga global.
Situasi turut memberi kesan hingga ke negara kecil seperti Bhutan, apabila kekurangan bahan api menyebabkan barisan panjang di stesen minyak di ibu negara, Thimphu.

Seorang tentera Israel mengawal kawasan di hadapan bangunan yang musnah selepas serangan peluru berpandu Iran di Tel Aviv.
Konflik yang berterusan ini menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan global sekiranya tiada penyelesaian diplomatik dicapai dalam masa terdekat.-AFP



