
Tentera Iran melaporkan serangan menggunakan dron ‘kamikaze’ ke atas pangkalan udara dan stesen radar di Israel, serta pangkalan tentera AS di Kuwait dan Erbil, Iraq . Foto Agensi
TEHERAN – Tentera Iran mengumumkan perluasan serangan balasnya hampir seminggu selepas bermulanya serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Dalam beberapa hari akan datang, musuh akan berdepan serangan yang lebih intensif dan meluas, lapor televisyen kerajaan pada Jumaat dengan memetik Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya, yang mengambil alih perintah operasi angkatan tentera Iran semasa konflik ketenteraan.
Kepimpinan tentera Iran turut melaporkan serangan menggunakan dron ‘kamikaze’ ke atas pangkalan udara Ramat David dan sebuah stesen radar di Israel, selain pangkalan tentera AS di Kuwait serta di Erbil, Iraq.
Sementara itu, majlis kepimpinan interim Iran terus membincangkan persoalan mengenai siapa yang akan menggantikan Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei yang terkorban dalam serangan Israel-AS pada Sabtu lepas.
Pada mesyuarat keempatnya, Presiden Masoud Pezeshkian, Ketua Kehakiman Gholam-Hossein Mohseni-Ejei dan ulama Alireza Arafi membincangkan cadangan untuk memanggil satu perhimpunan bagi menentukan pemimpin agung yang baharu, menurut kenyataan kerajaan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Trio itu mengendalikan urusan negara sejak kematian Khamenei.
Majlis itu diberikan kuasa yang diperluas pada Khamis, termasuk kuasa membuat keputusan mengenai perkara berkaitan perang dan keamanan serta melantik atau memecat pegawai tentera dan polis.
Di bawah perlembagaan Iran, Majlis Pakar – sebuah badan yang dianggotai 88 ulama – bertanggungjawab memilih pemimpin agung seterusnya. Bagaimanapun, masih belum jelas bila badan itu akan bersidang.
Menteri pertahanan Israel pada Rabu memberi amaran bahawa Israel juga akan menyasarkan pengganti Khamenei.
Seorang calon berpotensi ialah anak lelaki keduanya, Mojtaba Khamenei. – Bernama-dpa
Ringkasan AI
- Tentera Iran mengumumkan perluasan serangan balas mereka hampir seminggu selepas bermulanya serangan Israel dan AS
- Musuh akan berdepan serangan yang lebih intensif dan meluas dalam beberapa hari akan datang
- Tentera Iran melaporkan serangan menggunakan dron “kamikaze” ke atas pangkalan udara dan stesen radar di Israel, serta pangkalan tentera AS di Kuwait dan Erbil, Iraq
- Majlis kepimpinan interim Iran membincangkan tentang penggantian Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei yang terkorban
- Majlis diberi kuasa yang diperluas termasuk membuat keputusan berkaitan perang dan keamanan serta melantik atau memecat pegawai tentera dan polis



