Iran isytihar universiti ada kaitan AS, Israel sebagai 'sasaran sah'

Iran isytihar universiti ada kaitan AS, Israel sebagai 'sasaran sah'

Ankara: Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran pada Ahad memberi amaran bahawa universiti yang mempunyai kaitan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel di rantau itu kini menjadi “sasaran sah” sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kemudahan pendidikan Iran, lapor Anadolu Ajansi.

Laporan yang memetik kenyataan agensi berita separa rasmi Fars itu menyebut IRGC menuduh AS dan Israel berulang kali mengebom universiti di Iran, termasuk Universiti Sains dan Teknologi Iran di Tehran.

“Mulai sekarang, semua universiti entiti pendudukan (Israel) dan universiti Amerika di Asia Barat akan dianggap sebagai sasaran sah sebagai tindak balas terhadap pemusnahan institusi akademik Iran,” menurut kenyataan itu.

IRGC turut menggesa kakitangan dan pelajar di universiti berkaitan AS di rantau berkenaan, serta penduduk berhampiran, untuk menjauhkan diri sekurang-kurangnya satu kilometer dari kemudahan itu demi keselamatan mereka.

Pada Rabu, IRGC menuntut Washington mengecam serangan ke atas universiti atau berdepan dengan serangan balas.

Media Iran melaporkan beberapa serangan AS dan Israel ke atas kemudahan pendidikan, termasuk Universiti Teknologi Isfahan dan Universiti Sains dan Teknologi Iran di Tehran.

AS dan Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Iran sejak 28 Feb, yang setakat ini telah mengorbankan lebih 1,340 orang termasuk Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei.

Iran telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, selain Jordan, Iraq, dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS, sehingga mengakibatkan kemalangan jiwa dan kerosakan infrastruktur, selain menjejaskan pasaran global serta penerbangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top