TEHERAN – Pengawal Revolusi Iran telah memperkenalkan rejim pondok tol secara de facto bagi mengawal perkapalan antarabangsa di Selat Hormuz, menurut analisis yang diterbitkan dalam majalah perkapalan Lloyd’s List, lapor agensi berita Jerman dpa.
Di bawah sistem berkenaan, kapal-kapal dikehendaki mengemukakan dokumentasi penuh, mendapatkan kod pelepasan dan menerima pengiring daripada Pengawal Revolusi melalui satu koridor terkawal di selat itu, lapor majalah itu pada Rabu dengan memetik data perkapalan serta beberapa sumber yang mahir dengan sistem baharu itu.
Sebanyak 26 kapal telah melalui selat berkenaan melalui laluan di sekitar Pulau Larak di luar pantai selatan Iran sejak 13 Mac, menurut laporan itu.
Berdasarkan data trafik kapal masa nyata, tiada transit melalui laluan biasa direkodkan selepas 15 Mac.
Dalam 21 kes lain, perubahan laluan tidak dapat disahkan berikutan kekurangan data.
Menurut tiga sumber yang tidak dinamakan, pengusaha kapal dikehendaki menghubungi perantara berdaftar yang mempunyai kaitan dengan Pengawal Revolusi sebelum berlepas.
Mereka kemudian diarahkan untuk mengemukakan dokumentasi merangkumi nombor pengenalan, pemilikan, manifes kargo dengan keutamaan diberikan kepada minyak buat masa ini dan destinasi serta senarai penuh anak kapal.
Pengawal Revolusi kemudiannya akan menjalankan pemeriksaan pengesahan.
“Walaupun bukan semua kapal membayar tol secara langsung, sekurang-kurangnya dua kapal telah berbuat demikian dan pembayaran diselesaikan dalam mata wang yuan,” menurut laporan itu.
Sebaik sahaja sesebuah kapal melepasi pemeriksaan, kod akan dikeluarkan dan kemudiannya disahkan melalui radio sebelum bot malim dihantar ke lokasi.
Menurut perwakilan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Iran, kapal yang tidak dianggap sebagai musuh dan tidak menyokong tindakan ketenteraan terhadap Iran dibenarkan menggunakan Selat Hormuz dengan syarat mereka mematuhi semua peraturan keselamatan Iran serta menyelaras perjalanan dengan pihak berkuasa berkaitan.
Laluan air yang strategik dan penting bagi perdagangan tenaga antarabangsa itu bagaimanapun terhalang bagi sebahagian besar industri perkapalan di tengah-tengah peperangan AS-Israel terhadap Iran.
Kawalan oleh Iran, amaran mengenai periuk api, serangan dron dan penarikan balik insurans risiko perang telah menyebabkan laluan itu hampir mustahil untuk dilalui oleh syarikat perkapalan Barat dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Ratusan kapal tangki, kapal kontena dan kapal kargo kini terkandas di rantau berkenaan.- Bernama-dpa
Ringkasan AI
- Pengawal Revolusi Iran memperkenalkan rejim pondok tol secara de facto di Selat Hormuz
- Kapal-kapal dikehendaki mengemukakan dokumentasi lengkap, mendapatkan kod pelepasan dan menerima pengiring
- Sebanyak 26 kapal melalui selat tersebut melalui laluan di sekitar Pulau Larak sejak 13 Mac
- Walaupun tidak semua kapal membayar tol, dua kapal telah berbuat demikian menggunakan mata wang yuan
- Laluan air strategik ini menjadi sukar dilalui akibat kawalan Iran dan peperangan AS-Israel terhadap Iran, menyebabkan banyak kapal terkandas



