TEHERAN: Iran yang sudah lama berdepan sekatan Amerika Syarikat (AS) setakat ini menunjukkan kesediaan untuk menanggung kesannya, selain keupayaan menyesuaikan diri dengan tekanan ekonomi dan ketenteraan yang amat berat ketika konflik berlarutan.
Hampir enam bulan selepas Presiden AS, Donald Trump berikrar untuk mencapai kemenangan pantas ke atas Iran, konflik itu kini dilihat semakin buntu, dengan peluang untuk mencapai kemenangan ketenteraan atau penyelesaian melalui rundingan semakin tipis.
Bagi memecahkan kebuntuan itu, Trump pada Rabu berikrar melancarkan kempen tekanan besar-besaran dipanggil ‘Economic D-Day’ atau ‘Hari Penentuan Ekonomi’ yang akan menyaksikan mana-mana negara yang menjalankan urusan perniagaan dengan Iran akan berdepan kesan ekonomi yang buruk.
Persoalan utama bagi AS kini ialah sama ada sekatan tambahan mampu mencapai apa yang gagal dilakukan oleh strategi-strategi sebelum ini.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent dijangka mendedahkannya dalam sidang media pada 24 Ogos. Dalam satu wawancara dengan CNBC, pada Khamis, beliau menjelaskan Washington bersedia mengambil tindakan terhadap mana-mana negara, sama ada sekutu atau musuh, yang dipercayainya membantu Iran meneruskan kelangsungan ekonominya.
Beliau turut meminta China dan sekutu AS menyertai ‘perang ekonomi yang akan meminggirkan Iran dari ‘persada antarabangsa.’
“Anda sama ada bersama kami atau menentang kami,” katanya.
Beliau berkata, mana-mana pihak yang terus menjalankan urusan dengan Iran, termasuk memindahkan wang, membeli minyak Iran atau menjalankan pemindahan kargo dari kapal ke kapal di laut, akan berdepan tindakan penuh daripada Jabatan Perbendaharaan dan kerajaan AS.
Iran kini berdepan tekanan ekonomi yang semakin meningkat akibat sekatan AS dan sekatan laut. Timbul kebimbangan terhadap kesannya kepada rakyat yang semakin meningkat apabila harga makanan melonjak dan akses kepada mata wang asing menjadi semakin sukar.
Seorang penyelidik di Pusat Kajian Strategik di Teheran, Ali Akbar Dareini berkata, langkah-langkah tersebut sememangnya menjejaskan Iran. Namun, katanya, ia tidak mungkin memaksa Teheran menyerah, dengan alasan negara itu telah menyesuaikan diri dengan tekanan ekonomi selama beberapa dekad.
Dareini memberitahu Al Jazeera bahawa strategi Washington berasaskan andaian bahawa peningkatan kos ekonomi akhirnya akan memaksa Iran membuat konsesi. Sebaliknya, katanya, Teheran bertindak balas melalui gabungan langkah ketenteraan dan bukan ketenteraan, termasuk memberi tekanan di sekitar Selat Hormuz dan sokongan daripada kumpulan sekutu di bahagian lain di rantau berkenaan.
“Strategi Iran berasaskan peperangan asimetri,” katanya dan berhujah bahawa Teheran tidak mampu berdepan dengan AS dari segi ketenteraan secara konvensional dan sebaliknya perlu terus memperkenalkan taktik baharu serta meluaskan skop geografi konfrontasi.
Lagi pun, Iran telah berdepan sekatan besar AS sejak hampir awal penubuhan Republik Islam itu pada 1979.
Tekanan ekonomi semakin diperketat selepas pentadbiran Trump pada penggal pertamanya menarik diri daripada Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA), perjanjian 2015 antara kuasa dunia dan Iran bagi mengehadkan program nuklear negara itu.
Dalam konflik semasa, kerajaan AS juga sudah mengumumkan operasi ‘Economic Fury atau ‘Kemarahan Ekonomi’’.
Ia merupakan kempen ekonomi dua serampang yang menggabungkan sekatan diselaraskan Jabatan Perbendaharaan terhadap aliran kewangan rejim Iran dan sekatan tentera laut terhadap pelabuhan Iran.
Pakar Geostrategi Majlis Atlantik Atlantic di Washington, Imran Bayoumi yang juga bekas penasihat dasar Jabatan Pertahanan AS berkata, pengumuman terbaharu itu kemungkinan berpunca daripada kekecewaan yang semakin meningkat kerana pilihan lain belum membuahkan hasil seperti dikehendaki Trump.
“Ini sebenarnya pengiktirafan bahawa AS hampir terperangkap dalam perang ini. Persoalan mengenai apa yang sebenarnya cuba dicapai AS masih belum terjawab,” katanya kepada BBC, sambil menyifatkan langkah itu sebagai satu lagi percubaan menggunakan tekanan ekonomi.
