Tehran: Iran pada awal Rabu mendakwa melancarkan peluru berpandu hipersonik ke arah Israel, beberapa jam selepas Donald Trump menuntut republik Islam itu “menyerah kalah tanpa syarat.”
Presiden Amerika Syarikat (AS) itu menegaskan Washington tidak memainkan peranan dalam kempen pengeboman sekutu Israel, tetapi juga memberi amaran kepada Iran kesabarannya semakin menipis apabila konflik memasuki hari keenam.
Pesawat perang Israel menyasarkan ibu negara Iran sebelum subuh hari ini selepas tentera mengeluarkan amaran di media sosial supaya orang awam di kawasan yang dikenali sebagai Daerah 18 supaya berpindah.
Media negara Iran melaporkan letupan di kawasan Piroozi, Sabalan dan Sayyad di Tehran.
Sebagai tindakan balas, Iran memberitahu penduduk Tel Aviv untuk bersiap sedia untuk serangan, dengan Kor Pengawal Revolusi Islam mendakwa peluru berpandu hipersonik Fattah-1nya “berulang kali menggegarkan tempat perlindungan” di hab komersial.
“Gelombang ke-11 Operasi Janji Jujur 3 yang membanggakan menggunakan peluru berpandu Fattah-1” dijalankan, kata Pengawal dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen kerajaan.
Peluru berpandu hipersonik bergerak lebih daripada lima kali kelajuan bunyi dan boleh menukar haluan ketika penerbangan, menjadikannya lebih sukar untuk dikesan dan dipintas.
Iran juga menghantar “sekumpulan dron” ke arah Israel, di mana tentera berkata, ia memintas dua daripadanya di Laut Mati.
Trump mencetuskan spekulasi mengenai campur tangan AS apabila dia keluar tergesa-gesa dari sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Kanada, di mana pemimpin kelab negara demokrasi yang kaya bersama-sama menyeru gencatan senjata.
Kembali ke Washington pada Selasa, Trump menuntut republik Islam itu “menyerah kalah tanpa syarat.”
Beliau juga berbangga bahawa AS boleh dengan mudah membunuh pemimpin tertinggi Iran.
Trump juga bertemu dengan Majlis Keselamatan Negaranya untuk membincangkan konflik itu, berakhir selepas sejam dan 20 minit tanpa sebarang kenyataan awam segera.
Walaupun berulang kali berikrar untuk mengelak daripada memasuki “perang selama-lamanya” di Timur Tengah, Trump mengarahkan kapal pengangkut pesawat USS Nimitz ke rantau itu bersama-sama dengan beberapa pesawat tentera AS.
Pegawai AS menegaskan beliau belum membuat keputusan mengenai sebarang campur tangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd