Iran larang rakyat guna WhatsApp, tuduh hantar data kepada Israel

Iran larang rakyat guna WhatsApp, tuduh hantar data kepada Israel

TEHERAN – Televisyen kerajaan Iran menggesa rakyat negara itu agar segera memadam aplikasi pemesejan WhatsApp daripada telefon pintar mereka atas dakwaan ia menghantar maklumat pengguna kepada Israel, meskipun tidak disertakan bukti kukuh.

Tuduhan itu segera dinafikan oleh pihak WhatsApp yang menyifatkan laporan tersebut sebagai palsu dan berbahaya, terutama ketika rakyat Iran memerlukan saluran komunikasi yang selamat.

“Kami bimbang laporan palsu ini akan dijadikan alasan untuk menyekat perkhidmatan kami pada waktu kritikal ini,” kata WhatsApp dalam satu kenyataan rasmi pada Rabu.

Syarikat itu menegaskan bahawa WhatsApp menggunakan sistem penyulitan hujung-ke-hujung (end-to-end encryption), yang memastikan mesej hanya boleh dibaca oleh penghantar dan penerima, manakala pihak ketiga termasuk penyedia perkhidmatan tidak dapat mengakses kandungan tersebut.

“Kami tidak menjejak lokasi tepat pengguna, tidak menyimpan log siapa yang berhubung dengan siapa, dan tidak memantau mesej peribadi yang dihantar antara pengguna,” jelas kenyataan itu lagi. “Kami juga tidak membekalkan data secara besar-besaran kepada mana-mana kerajaan.”

Pakar keselamatan siber dari Universiti Cornell, Prof Madya Gregory Falco berkata, meskipun kandungan mesej disulitkan, namun metadata pengguna seperti masa penggunaan dan kekerapan boleh dianalisis.

“Itu yang menjadi isu konsisten, kerana walaupun mesej tidak boleh dibaca, metadata boleh memberikan gambaran tentang corak penggunaan,” katanya.

Tambah beliau, isu kedaulatan data juga menjadi kebimbangan kerana pusat data WhatsApp yang mengendalikan maklumat pengguna Iran mungkin tidak terletak di dalam negara tersebut.

“Negara-negara perlu menyimpan dan memproses data dalam negara sendiri dengan algoritma mereka sendiri kerana sukar untuk mempercayai infrastruktur data global yang ada sekarang,” ujarnya.

WhatsApp dimiliki syarikat Meta Platforms, yang juga merupakan pemilik Facebook dan Instagram.

Iran sebelum ini telah menyekat pelbagai platform media sosial, namun ramai rakyatnya masih menggunakan VPN dan proksi untuk mengaksesnya.

Aplikasi WhatsApp dan Google Play pernah diharamkan pada 2022 ketika tercetus protes besar-besaran berhubung kematian seorang wanita dalam tahanan polis moral Iran, namun sekatan itu ditarik balik pada akhir tahun lalu.

Sebelum ini, WhatsApp merupakan salah satu aplikasi pemesejan paling popular di Iran selain Instagram dan Telegram. -AP

 

 

Scroll to Top